PUTRAJAYA: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) diberi pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berkongsi amalan terbaik dalam satu forum yang diadakan di New York, Amerika Syarikat pada 15 hingga 16 Mei.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), forum itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Hari Keluarga Antarabangsa (HKA) 2024 yang disambut pada 15 Mei setiap tahun.

"Pengiktirafan ini diberikan atas keprihatinan KPWKM dalam memperkasakan keluarga melalui pendidikan dan advokasi dalam menangani tindakan iklim secara berkesan. Tanpa tindakan drastik, impak perubahan iklim akan menjadi semakin sukar ditangani dan memberi dampak yang besar kepada keluarga," menurut KPWKM dalam kenyataan di sini hari ini.

KPWKM memaklumkan impak negatif itu boleh mempengaruhi aspek kesihatan dan kesejahteraan keluarga melalui peningkatan pencemaran, perubahan cuaca melampau seperti banjir dan kemarau yang mampu mengakibatkan gangguan ekonomi terhadap industri pertanian, kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan ahli keluarga.

Justeru, komponen keluarga telah diambil kira di bawah agenda pembangunan negara dalam Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-12 yang bertujuan menangani isu semasa bagi merangsang pembangunan sosioekonomi Malaysia demi kelestarian dan kemakmuran jangka panjang.

KPWKM memaklumkan HKA disambut pada 15 Mei setiap tahun sejak 1994 seperti ditetapkan oleh PBB dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 bagi sambutan itu bertemakan "Keluarga dan Perubahan Iklim".

Tema itu memberi tumpuan kepada keluarga dan perubahan iklim, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesan kepada keluarga dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga berkaitan perubahan dan tindakan iklim.

Menurut KPWKM, bersempena dengan ulang tahun ke-30 HKA, kementerian melalui LPPKN dengan kerjasama International Federation for Family Development (IFFD), Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDESA) dan Doha International Family Institute (DIFI) telah melaksanakan prasambutan HKA pada 28 dan 29 Feb lepas dengan penganjuran Mesyuarat Kumpulan Pakar Rantau Asia.

Pelbagai inisiatif bagi menyokong dan mengukuhkan institusi keluarga serta mewujudkan persekitaran yang menyokong perkembangan institusi keluarga antaranya menerusi penggubalan Dasar Mesra Keluarga.

Meraikan tiga dekad HKA, KPWKM memaklumkan akan terus komited untuk memperkukuh keluarga dalam menghadapi pelbagai isu yang kompleks terutama tekanan ekonomi dan kemajuan teknologi pesat yang sudah tentu memerlukan penyelesaian inovatif dan usaha kolaboratif semua pihak.

-- BERNAMA