Skip to main content

Dunia

Pusat perlindungan UNRWA di Lubnan capai tahap kritikal susulan lonjakan pelarian

[TB]_Lebanon UNRWA_PHOTO UNWRA
Lonjakan kemasukan pelarian itu dikaitkan dengan arahan pemindahan serta peningkatan serangan udara di kawasan selatan Sungai Litani, walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa. -Gambar fail/UNRWA

BEIRUT: Rangkaian pusat perlindungan kecemasan kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Lubnan kini dilaporkan berada pada tahap kritikal susulan peningkatan mendadak jumlah pelarian akibat operasi ketenteraan Israel.

Kemas kini data agensi setakat 2 Jun menunjukkan seramai 2,148 pelarian daripada 661 keluarga telah mendaftar di dua pusat perlindungan utama, iaitu Pusat Latihan Siblin di Sidon dan Sekolah Battir di Nahr el-Bared, berbanding 1,264 orang sebelum ini.

Lonjakan kemasukan pelarian itu dikaitkan dengan arahan pemindahan serta peningkatan serangan udara di kawasan selatan Sungai Litani, walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa.

Serangan udara berhampiran kem pelarian Palestin Rashidieh di selatan Tyre pada 25 Mei turut menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur asas termasuk bekalan air bersih, sistem kumbahan dan saliran, dengan kerja pembaikan masih tertangguh susulan kekangan akses dan keperluan logistik.

Kesan serangan itu memaksa hampir satu pertiga daripada kira-kira 28,000 penduduk asal di kem Rashidieh dan kem berdekatan, el-Buss, untuk berpindah ke kawasan lebih selamat.

Krisis keselamatan berterusan turut menjejaskan perkhidmatan kesihatan apabila 14 daripada 26 klinik kesihatan primer UNRWA terpaksa ditutup, meninggalkan hanya 12 klinik yang masih beroperasi di seluruh Lubnan.

Bagi mengurangkan kesan penutupan tersebut, sebuah klinik bergerak di pusat perlindungan Siblin diaktifkan dengan menggerakkan kakitangan perubatan secara giliran dari fasiliti yang terjejas.

Sektor pendidikan turut menerima kesan apabila hanya 34 daripada 60 sekolah kendalian UNRWA masih menjalankan sesi pembelajaran secara bersemuka, manakala selebihnya beralih kepada pembelajaran dalam talian atau hibrid.

Sejak krisis tercetus, UNRWA dilaporkan telah menyediakan lebih 171,000 sesi rawatan perubatan serta menyalurkan sokongan psikososial kepada sekurang-kurangnya 6,000 pelarian yang terkesan akibat konflik.

 

Must Watch Video

Advertisement