PEWARIS takhta diraja Britain, Putera William dilaporkan positif COVID-19 pada April lepas, menurut media tempatan pada Ahad.

Beliau, bagaimanapun merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum kerana ingin mengelak kebimbangan orang ramai.

Perkara tersebut pertama dilaporkan oleh akhbar The Sun dan susulan itu disahkan oleh beberapa media tempatan termasuk BBC.

Sehingga kini, Istana Kensington masih belum memberi sebarang komen.

The Sun melaporkan William, 38, dirawat oleh doktor istana dan menjalani kuarantin di rumahnya Ammer Hall di Norfolk.

Sepanjang April, beliau masih menjalankan tanggungjawabnya dengan mengadakan sebanyak 14 panggilan telefon dan video.

“Pada satu tahap, William bergelut untuk bernafas yang jelas membuatkan orang di sekelilingnya panik.

“Selepas berjumpa dengan pasukan perubatan dan disahkan positif (keputusan itu) agak mengejutkan memandangkan beliau cukup sihat dan aktif (dalam masa sama) William tekad untuk meneruskan kerjanya,” kata seorang sumber kepada The Sun.

Laporan itu mendakwa William dijangkiti COVID-19 hanya beberapa hari selepas bapanya, Putera Charles, 71 tahun turut disahkan positif COVID-19 pada hujung Mac.