INTERNATIONAL
Putin dijangka adakan perbualan telefon dengan Trump

Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin (19 Mei). - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin (19 Mei), menjadikannya perbualan ketiga antara kedua-dua pemimpin itu sejak awal tahun ini, lapor Agensi Berita Rusia, TASS.
Ringkasan AI
- Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka mengadakan panggilan telefon dengan Presiden AS Donald Trump pada 19 Mei bagi membincangkan isu Ukraine dan perdagangan.
- Ini merupakan perbualan ketiga antara mereka tahun ini, selepas perbincangan terdahulu mengenai konflik Ukraine, Timur Tengah, dan hubungan dua hala.
- Trump turut merancang berbincang dengan pemimpin Ukraine dan NATO selepas berhubung dengan beberapa pemimpin Eropah seperti dari Jerman, Perancis dan Britain.
Menurut Trump, antara topik yang akan dibincangkan ialah penyelesaian konflik di Ukraine dan isu perdagangan.
Selepas perbualan bersama Putin, Trump dijangka mengadakan perbincangan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, serta beberapa pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bagaimanapun, Canselor Jerman Friedrich Merz, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer dijadual berhubung dengan Trump terlebih dahulu sebelum perbualan dengan Presiden Rusia itu berlangsung.
Interaksi terakhir antara Putin dan Trump berlangsung pada 18 Mac lalu, yang memfokuskan kepada penyelesaian konflik di Ukraine dan Timur Tengah serta hubungan dua hala.
Ketika itu, Putin menyatakan sokongan bersyarat terhadap cadangan Trump bagi mengadakan genjatan senjata di Ukraine.
Beliau turut mengarahkan agar serangan ke atas infrastruktur tenaga dihentikan dan pasukan tentera Rusia menghentikan serangan artileri. Namun, tiada tindak balas balas seumpamanya daripada pihak Kyiv.
Terdahulu pada 12 Feb, kedua-dua pemimpin turut mengadakan perbualan telefon membincangkan isu Ukraine dan ketegangan dalam hubungan dua hala.
Presiden Rusia dan AS itu turut bersetuju untuk mengekalkan komunikasi dan merancang pertemuan secara bersemuka.
Trump secara konsisten menyuarakan hasrat untuk menganjurkan sidang kemuncak itu secepat mungkin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami