DUNIA
Putin tandatangani undang-undang wajibkan Apple benarkan App Store Rusia dipasang pada peranti - Dokumen

Bermula 1 September, Apple dikehendaki membenarkan pengguna telefon pintar dan tablet Apple untuk memasang, mengemas kini dan membuat bayaran bagi aplikasi yang dibangunkan oleh pembina dari Rusia. - Gambar hiasan
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani rang undang-undang yang mewajibkan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple, membenarkan App Store Rusia, RuStore, dipasang pada peranti keluarannya, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut dokumen yang diterbitkan dalam pangkalan data undang-undang rasmi Rusia, bermula 1 September, Apple dikehendaki membenarkan pengguna telefon pintar dan tablet Apple untuk memasang, mengemas kini dan membuat bayaran bagi aplikasi yang dibangunkan oleh pembina dari Rusia.
Undang-undang itu turut melarang Apple daripada mengenakan sekatan terhadap pemasangan aplikasi pihak ketiga, menyekat fungsi peranti apabila menggunakan perisian alternatif, mengenakan dasar harga terhadap pembina atau mengehadkan kaedah pembayaran dalam aplikasi.
Jawatankuasa Parlimen Rusia bagi Industri dan Perdagangan berkata, undang-undang ini bertujuan menamatkan amalan antipersaingan oleh syarikat asing seperti Apple dan Google, selepas mereka menyekat akses kepada perkhidmatan Rusia termasuk aplikasi perbankan penting.RuStore sebelum ini boleh dipasang dan digunakan pada semua peranti yang menggunakan sistem operasi Android sebelum perjanjian pelesenan Apple mengehadkan pemasangan aplikasi daripada sumber bebas dan menyekat akses kepada fungsi tertentu pada peranti atau sistem operasi, termasuk pemprosesan pembayaran.
Alexei Govyrin, Ahli Jawatankuasa bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana berkata, jika sesuatu peranti menyekat operasi aplikasi yang dipasang melalui RuStore atau mengganggu penggunaannya secara normal, ia akan dianggap sebagai kecacatan produk, yang boleh melayakkan pengguna menuntut penggantian, pembaikan atau bayaran balik.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
TAG: Apple, Rusia, RuStore, pelesenan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami