ISTANBUL: Bahrain dan Qatar mengeluarkan amaran keselamatan awal Jumaat ketika Kuwait bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron di tengah-tengah ketegangan serantau.
Anadolu Ajansi melaporkan Kementerian Dalam Negeri Bahrain mengaktifkan siren amaran dan menggesa orang ramai menuju ke lokasi selamat terdekat.
Di negara jiran Qatar, Kementerian Dalam Negeri menggesa orang ramai tinggal di dalam rumah dan kekal di tempat selamat, dengan mengatakan tahap ancaman keselamatan adalah tinggi.
Sementara itu, siren amaran diaktifkan di seluruh Kuwait dan Kementerian Dalam Negeri menyeru orang ramai supaya mendapatkan perlindungan di lokasi selamat yang terdekat dan mengikut arahan rasmi.
Tentera Kuwait kemudian memaklumkan sistem pertahanan udara negara itu bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron musuh, tanpa memberikan butiran lanjut.
Perkembangan itu berlaku selepas tentera Iran mengumumkan ia telah melancarkan serangan dron yang menyasarkan pangkalan tentera AS di Bahrain.
Rantau itu gawat sejak 28 Feb apabila AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara Teluk yang menempatkan aset AS.
Iran dan AS bulan lepas memeterai perjanjian rangka kerja pengantaraan Pakistan yang bertujuan menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai.
Ketegangan, bagaimanapun, meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini di Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak berbalas serangan.
-- BERNAMA-ANADOLU