Skip to main content

Dunia

Raja Baharu Norway kenang ayahanda dalam ucapan pertama

Norway's King Haakon at the palace in Oslo, Saturday, Aug. 29, 2026. (Heiko Junge, Pool Photo via AP)
Raja Haakon menyampaikan titahnya di istana di Oslo, 29 Ogos 2026. (Foto AP)
Advertisement

COPENHAGEN: Raja baharu Norway, Raja Haakon VIII mengenang mendiang ayahandanya, Raja Harald V dalam ucapan penuh emosi yang pertama kepada rakyat sejak menaiki takhta, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Terima kasih kerana menjadi ayah yang begitu baik kepada Märtha dan saya,” titah Haakon pada petang Sabtu menerusi ucapan yang disiarkan di televisyen dan radio Norway.

Haakon secara automatik menjadi raja baharu negara Scandinavia itu susulan kemangkatan Harald pada pagi Jumaat. 

Baginda mempunyai seorang kakanda, Puteri Märtha Louise.

“Tuanku juga seorang datuk yang mesra dan mencuit hati. Seorang suami yang penyayang dan prihatin. Seorang bapa mentua yang murah hati. 

“Tuanku sentiasa menyokong dan menjaga kami semua. Saya akan merinduinya,” titah Haakon, 53, mengenai ayahandanya.

Haakon turut mengenang perkahwinan kedua-dua ibu bapanya dengan menyatakan bahawa Sabtu merupakan ulang tahun perkahwinan ke-58 Harald dan Ratu Sonja.

Suara baginda kedengaran sebak seketika ketika berpaling kepada bondanya dan bertitah: “Selamat ulang tahun perkahwinan, ibu tersayang.”

Mengenai pemerintahannya, Haakon bertitah bahawa baginda berhasrat mengikuti teladan ayahandanya, namun pada masa sama akan membawa pendekatan tersendiri sebagai raja.

Haakon turut berterima kasih kepada rakyat Norway atas simpati yang dizahirkan susulan kemangkatan ayahandanya. 

Raja baharu itu dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Parlimen Norway pada Selasa dalam satu upacara yang akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement