Skip to main content

Dunia

Raja, Ratu Sepanyol sertai upacara memperingati mangsa nahas kereta api

Raja Felipe VI dan Ratu Letizia bersama ahli keluarga mangsa nahas kereta api Urda, semasa upacara pengebumian negara bagi 69 orang yang terkorban dalam kejadian itu, di Katedral Toledo, Toledo, Sepanyol, 10 Nov 2026. REUTERS
Raja Felipe VI dan Ratu Letizia bersama ahli keluarga mangsa nahas kereta api Urda, semasa upacara pengebumian negara bagi 69 orang yang terkorban dalam kejadian itu, di Katedral Toledo, Toledo, Sepanyol, 10 Nov 2026. REUTERS
Advertisement

MADRID: Raja Felipe VI dan Ratu Letizia menghadiri upacara memperingati 69 mangsa yang terkorban dalam nahas kereta api maut di Sepanyol bulan lalu, tragedi rel terburuk negara itu sejak 2013.

Kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta api yang bergerak laju merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren yang sedang berhenti di laluan Madrid-Seville, berhampiran bandar kecil Urda, kira-kira 64 kilometer dari Toledo.

Dalam upacara itu, wakil keluarga mangsa membawa lilin yang dinyalakan dan meletakkannya di hadapan mezbah sebagai tanda penghormatan.

Advertisement

Bacaan pertama disampaikan oleh Ana Benítez, adik kepada David Benítez, seorang bapa kepada dua anak yang maut dalam nahas berkenaan.

“Tragedi di Urda meninggalkan kesedihan yang sukar diterima oleh keluarga, komuniti dan seluruh masyarakat,” kata Uskup Agung Cerro Chaves dalam ucapannya.

Advertisement

Raja dan Ratu Sepanyol turut meluangkan masa bertemu serta berbual dengan ahli keluarga mangsa selepas upacara keagamaan itu berakhir.

Turut hadir ialah beberapa pemimpin politik kanan termasuk ketua pembangkang Alberto Nunez Feijoo, Presiden wilayah Castilla-La Mancha, Emiliano García-Page, dan Menteri Pengangkutan serta Ekonomi, Carlos Cuerpo.

Carlos mengambil alih portfolio pengangkutan selepas peletakan jawatan Oscar Puente minggu lalu susulan tekanan yang memuncak selepas nahas itu.

Pada Januari lalu, 46 orang turut terkorban dalam satu lagi kemalangan di laluan kereta api laju yang sama.

Siasatan terhadap punca nahas masih diteruskan, dengan pihak berkuasa sebelum ini tidak menolak kemungkinan gabungan faktor kesilapan manusia dan kegagalan sistem keselamatan menjadi penyebab tragedi tersebut.

Seramai 28 mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di hospital.

 

 

Must Watch Video

Advertisement