ALOR GAJAH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Mejar (B) Jaini Dimon mahu mencipta sejarah baharu dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu, meskipun menerima mandat sebagai calon hanya dua hari sebelum penamaan calon.
Jaini, yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkata keputusan menerima pencalonan itu pada saat akhir merupakan cabaran besar.
Bagaimanapun, beliau melihatnya sebagai peluang untuk membawa perubahan kepada kawasan yang didakwanya masih ketinggalan dari segi pembangunan.
Selepas berbincang dengan keluarga dan kepimpinan parti, beliau bersedia mengambil risiko berkenaan kerana yakin pengalaman 30 tahun dalam perkhidmatan awam, selain hampir lapan tahun bergiat dalam politik, dapat dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada penduduk Ayer Limau.
"Ayer Limau ini adalah satu DUN yang boleh saya katakan agak terpinggir. Sebab Negeri Melaka telah menyatakan Melaka adalah negeri maju pada tahun 2010.
"Jadi sudah 16 tahun negeri maju untuk Melaka ini berjalan, tetapi saya nampak pembangunan di DUN Ayer Limau ini sangat perlahan dan tak ada sangat pembangunan yang boleh kita banggakan sebagai sebahagian daripada Negeri Melaka yang sudah maju," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Jaini berkata antara keutamaan sekiranya diberi mandat ialah memperkukuh sektor pertanian yang menjadi antara kegiatan ekonomi penduduk setempat.
Katanya, petani berdepan masalah tanaman dimusnahkan haiwan liar seperti monyet dan babi hutan sehingga menjejaskan hasil serta pendapatan mereka.
Selain itu, beliau turut menawarkan pemasangan mesin automated external defibrillator (AED) di masjid dan rumah ibadat bukan Islam sebagai antara inisiatif utama sekiranya diberi mandat.
"Ini adalah alat bantuan kecemasan untuk merawat pesakit yang mengalami kegagalan fungsi jantung. Dengan adanya mesin AED yang sedia ada di kawasan berdekatan, ini boleh membantu menyelamatkan nyawa orang yang mengalami kegagalan fungsi jantung sekiranya perkara ini berlaku," ujarnya lagi.
Dalam usaha merancakkan ekonomi setempat pula, Jaini mahu menambah benih udang galah di Sungai Jernih dan Sungai Timun bagi memperkasakan lagi aktiviti berkenaan.
Ujarnya, langkah itu bukan sahaja bertujuan memastikan kelangsungan spesies berkenaan, malah boleh dijadikan produk pelancongan yang memberi manfaat ekonomi kepada penduduk.
"Insya-Allah, saya akan menambahkan benih anak udang galah ini untuk memastikan bekalan ataupun spesies udang galah sentiasa ada... sekali gus meningkatkan tarikan pelancong," katanya.
Dalam pada itu, ujarnya kedudukan Lubok China sebagai pintu masuk utama ke Melaka dari arah Tol Pedas turut boleh dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi berasaskan makanan dan pelancongan.
Mengenai sambutan kempen pula, Jaini memaklumkan berdasarkan pertemuan dengan penduduk, terdapat sebahagian pengundi yang mahukan perubahan kepimpinan dan menyokong usaha Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguruskan ekonomi negara.
DUN Ayer Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara Jaini dengan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer daripada BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.