PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihat menangguhkan sebarang aktiviti rekreasi air termasuk mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan keadaan cuaca tidak menentu serta kejadian hujan lebat dan berterusan di beberapa kawasan berpotensi menyebabkan peningkatan paras air secara mendadak, arus deras dan fenomena kepala air yang boleh mengancam keselamatan serta meragut nyawa.
“Fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata, jangan tunggu sehingga air menjadi deras untuk bertindak. Keselamatan nyawa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
JBPM mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 dengan segera dan memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pihak penyelamat,” menurut kenyataan itu.
JBPM turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Isnin.
Dalam kejadian itu, lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian di sekitar kawasan berkenaan.
“Selain itu, 26 individu yang terkandas di sekitar kawasan kejadian telah berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat,” menurut kenyataan itu.
JBPM bersimpati dengan tragedi yang berlaku dan berharap agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
“Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan serius bahawa aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan hutan mempunyai risiko keselamatan yang tinggi, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim monsun,” menurut JBPM.
-- BERNAMA