WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyatnya yang berada di seluruh Asia Barat supaya sentiasa berwaspada dan bersedia meninggalkan rantau itu sekiranya berlaku peningkatan ketegangan keselamatan.
Gesaan itu dibuat susulan laporan media AS yang mendakwa Presiden Donald Trump mungkin merancang melancarkan siri serangan baharu yang lebih intensif terhadap Iran seawal hujung minggu ini.
Dalam amaran keselamatan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS, Washington memaklumkan, kemudahan diplomatik AS, termasuk di luar Asia Barat, pernah menjadi sasaran serangan.
"Iran dan kumpulan yang menyokong Iran mungkin menyasarkan kepentingan AS di luar negara atau lokasi yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat serta rakyat Amerika di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Tehran menuduh AS terus meningkatkan ketegangan serantau dan memberi amaran bahawa mana-mana negara di rantau berkenaan yang bekerjasama dengan Washington akan "dibakar oleh api peperangan."
Dalam amaran yang dikeluarkan pada Sabtu, Jabatan Negara AS menasihatkan rakyatnya di Asia Barat supaya mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan tahap kewaspadaan dan bersedia berdepan pembatalan penerbangan, penutupan ruang udara secara berkala serta gangguan perjalanan.
"Rakyat Amerika di rantau ini perlu mempertimbangkan untuk berlepas atau bersedia meninggalkan kawasan berkenaan sekiranya ketegangan meningkat.
"Rakyat Amerika di luar Asia Barat pula disaran menilai semula keperluan melakukan perjalanan ke atau melalui rantau tersebut," menurut kenyataan itu.
Kedutaan AS di beberapa negara Asia Barat termasuk Bahrain, Iraq, Israel, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu turut mengulangi amaran keselamatan tersebut kepada rakyat Amerika dengan memberi peringatan mengenai kemungkinan berlakunya "peningkatan ketegangan secara tidak dijangka."
Sementara itu, media AS memetik pegawai kerajaan sebagai berkata, Trump berkemungkinan mengarahkan serangan baharu terhadap Iran seawal hujung minggu ini.
Menurut laporan CBS News, AS dan Israel sedang mempertimbang kempen pengeboman berskala besar yang berpotensi menjadi antara serangan paling agresif setakat ini terhadap infrastruktur tenaga Iran.
Laporan itu menyebut rancangan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Trump pada Jumaat berdasarkan maklumat daripada sumber yang diberi taklimat selepas pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pegawai kanan White House yang bertanggungjawab terhadap strategi politik dilaporkan membantah cadangan itu.
Ketika mesyuarat berkenaan, Trump dilaporkan berkata di hadapan wartawan: "Kami akan menyerang mereka (Iran) dengan sangat keras. Pada satu tahap nanti mereka akan berkata, 'Kami tidak mampu menanggungnya lagi'."
Pada Khamis, tentera AS memaklumkan, mereka telah melaksanakan satu "gelombang serangan besar" terhadap Iran sebagai tindak balas kepada cubaan serangan peluru berpandu balistik oleh Tehran terhadap pasukan Amerika pada Selasa.
Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, pihaknya menyasarkan puluhan lokasi yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas pangkalan tentera AS di Jordan dan kapal-kapal di Selat Hormuz.
Media kerajaan Iran pula melaporkan, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, terbunuh dalam serangan AS tersebut.
Konflik itu kembali memuncak minggu ini selepas beberapa hari keadaan dilihat agak tenang, termasuk susulan serangan bersama pertama yang diumumkan secara terbuka oleh AS dan Arab Saudi terhadap kumpulan proksi Iran di Iraq.
Washington dan Tehran terus terlibat dalam siri serangan balas-membalas sejak gencatan senjata yang diumumkan pada April bagi menghentikan peperangan gagal dipertahankan pada Jun.
AS sebelum ini melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan Iran dan melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di negara itu, manakala Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu serta dron ke atas aset AS di beberapa negara Asia Barat selain menyasarkan perkapalan di Selat Hormuz, laluan utama perdagangan minyak dunia.
AS dan Israel mula melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari lalu. - Agensi