LONDON:Warga Britain disaran menanam pokok untuk meraikan ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth di atas takhta.

Ia juga merupakan sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan negara itu sebagai negara hijau sempena menghormati tujuh dekad pemerintahan baginda.

Ratu Elizabeth, 94 tahun, menjadi raja yang paling lama memerintah dalam sejarah Britain, dan akan menyambut Jubli Platinumnya pada Februari 2022.

Dinamakan "The Queen's Green Canopy," projek yang disokong oleh badan amal itu menggalakkan orang ramai, sekolah dan pemilik tanah menanam pokok untuk membantu alam sekitar dan membawa persekitaran yang lebih hijau.

Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, krisis kesihatan dan pandemik mengingatkan tentang pentingnya alam sekitar dan bagaimana tumbuh-tumbuhan dapat mengubah kehidupan masyarakat serta menangani isu perubahan iklim.

Keluarga diraja Britain merupakan penyokong kuat isu alam sekitar, dengan Putera Charles kerap menyuarakan kebimbangan kesan perubahan iklim dan kepentingan pemuliharaan alam sekitar, manakala cucunya Putera William pula merupakan penaung beberapa badan hidupan liar dan habitat terancam.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, personaliti, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !