WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Selasa mengumumkan bahawa pihaknya berjaya menggagalkan beberapa rancangan serangan yang disasarkan pada acara Ultimate Fighting Championship (UFC) di Rumah Putih yang berlangsung pada Ahad sempena sambutan ulang tahun hari lahir ke-80 Presiden Donald Trump dan ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
"Pada 10 Jun, FBI bersama rakan penguat kuasa undang-undang kami telah mengesan potensi ancaman terhadap acara UFC America 250 di Washington, D.C. yang melibatkan individu dari luar Wilayah Ibu Kota Negara," kata Pengarah FBI Kash Patel menerusi hantaran di platform media sosial X.
"Beberapa individu kini berada dalam tahanan, dan rancangan serangan berkenaan berjaya disekat sepenuhnya," kata beliau.
Beberapa pegawai yang dipetik oleh Fox News menyatakan bahawa rancangan itu dipercayai melibatkan penggunaan dron yang sarat dengan bahan letupan untuk menyerang bangunan berhampiran lokasi acara, bagi mencetuskan pemindahan besar-besaran dan mengarahkan orang ramai ke kawasan yang telah ditempatkan pasukan penembak hendap.
Setakat Isnin, seramai lima orang telah ditahan dan penyiasat mengenal pasti 23 individu lain yang disyaki sebahagian daripada rangkaian perancang berkenaan, menurut pegawai yang turut mendedahkan bahawa "gelombang kedua" serangan didakwa dirancang untuk menyerbu pintu pagar Rumah Putih.
Pertunjukan sukan lasak dalam sangkar yang julung kali diadakan di Laman Selatan Rumah Putih itu telah mencetuskan cabaran undang-undang, dengan dua penduduk Virginia berhujah bahawa acara itu menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun pada Jumaat, seorang hakim persekutuan di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Columbia menolak permohonan untuk menyekat acara UFC itu, sekali gus membenarkan persiapan diteruskan.
Kira-kira 4,000 penonton menghadiri acara profil tinggi itu pada Ahad.
Cubaan serangan itu dilaporkan menjadi sebahagian daripada peningkatan trend keganasan politik di seluruh AS pada masa ini.
Pada April lepas, seorang lelaki bersenjatakan pistol dan pisau bertindak merempuh pos pemeriksaan keselamatan di Majlis Makan Malam Koresponden Rumah Putih dan telah didakwa atas cubaan membunuh presiden.
-- BERNAMA-XINHUA