AS rangka pelan jadikan Gaza pusat peranginan futuristik - Laporan

Washington berkemungkinan akan memberi komitmen kira-kira 20 peratus daripada kos pembinaan semula Gaza bagi tempoh 10 tahun. - AP
MOSCOW: Menantu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Jared Kushner, dan Utusan Khas AS Steve Witkoff telah membentangkan draf pelan pembinaan semula Gaza kepada pelabur berpotensi, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan The Wall Street Journal.
Rangka tindakan pusat peranginan futuristik yang dinamakan "Project Sunrise" itu dirangka oleh Kushner dan Witkoff. Menurut akhbar itu pada Jumaat, Washington berkemungkinan akan memberi komitmen kira-kira 20 peratus daripada kos pembinaan semula Gaza bagi tempoh 10 tahun.
"Project Sunrise" membayangkan Gaza sebagai metropolis teknologi tinggi yang dilengkapi pusat peranginan mewah di pesisir pantai, kereta api berkelajuan tinggi dan grid pintar yang dioptimumkan oleh kecerdasan buatan (AI).
Bagaimanapun, menurut laporan akhbar itu lagi, draf pelan pembinaan semula berkenaan tidak menyebut di mana dua juta rakyat Palestin akan menetap sepanjang projek itu dilaksanakan.
Kushner dan Witkoff telah membentangkan draf projek itu kepada pelabur berpotensi dan kerajaan asing, termasuk Turkiye dan Mesir.
Pada November, pakar ekonomi Unit Bantuan kepada Rakyat Palestin bagi Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Rami Alazzeh berkata proses membersihkan wilayah Semenanjung Gaza daripada peluru atau bom yang tidak meletup mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun.
Penyelaras program sokongan UNCTAD untuk rakyat Palestin, Mutasim Elagraa pula berkata jika kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan diteruskan pada tahap yang sama, ia mungkin mengambil masa kira-kira 22 tahun untuk membersihkan sepenuhnya sisa runtuhan di Semenanjung Gaza.
Pada Oktober, Wakil Khas bagi Program Bantuan kepada Rakyat Palestin di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Jaco Cilliers berkata mengikut anggaran UNDP, sekurang-kurangnya 50 juta tan sisa runtuhan perlu dialihkan dari Gaza.
Beliau menambah bahawa pembinaan semula Genting Gaza memerlukan kos sebanyak US$70 bilion.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


