KUALA LUMPUR: Ratu Elizabeth II, raja paling lama berkhidmat di United Kingdom (UK) dan sepanjang tujuh dekad pemerintahannya, baginda menjadi lambang kestabilan dan kekuatan paling penting buat UK, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay.

Hay dalam ucapannya sempena majlis sambutan Jubli Platinum dan ulang tahun ke-96 Ratu Elizabeth II di sini, pada Khamis, berkata aspek terpenting dalam pemerintahan baginda ialah tanggungjawab dan perngorbanan yang tiada tolok bandingnya sepanjang bersemayam di atas takhta.

"Penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga buat Ratu Elizabeth II telah ditunjukkan oleh pelbagai lapisan masyarakat yang menghadiri acara termasuk Trooping of the Colour dan pesta jalanan yang diadakan di seluruh UK," katanya.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hay berkata Ratu Elizabeth II mempunyai hubungan baik dengan Malaysia dan kunjungan paling diingati ialah ketika baginda menghadiri majlis penutup Sukan Komanwel di Stadium Bukit Jalil pada 1998.

"Satu daripada acara penting semasa saya menjadi pesuruhjaya tinggi di sini ialah mengiringi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke jamuan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham semasa Lawatan Khas ke UK pada 2019," katanya.

Hay berkata hubungan UK dan Malaysia terus berkembang kukuh menyaksikan kedua-dua negara menjalinkan hubungan secara kolaboratif merentasi pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurutnya, UK telah menyumbang sejumlah 15 juta paun sterling dalam tempoh tiga tahun lepas untuk melaksanakan program perkongsian ekonomi dengan Malaysia.

Dagangan dua hala antara UK dan Malaysia pula melebihi lima bilion paun sterling dengan UK berusaha untuk mengembangkan sektor utama seperti pendidikan, teknologi, bandar pintar dan penjagaan kesihatan.

Acara itu dihadiri lebih 800 tetamu termasuk kerabat diraja, pegawai kanan kerajaan, pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan, kor diplomatik dan komuniti perniagaan.

Tetamu dihiburkan dengan pertunjukan budaya dan alunan lagu-lagu menarik serta dihidangkan dengan pelbagai juadah enak.

Turut dipamerkan potret Ratu Elizabeth II hasil karya pelukis Malaysia, Hakim Abdullah dan karya seni digital artis Britain, Rachel Gray.

-- BERNAMA