JAKARTA: Ratusan pelajar universiti di Indonesia turun ke jalan raya di ibu negara pada Jumaat bagi membantah dasar perbelanjaan kerajaan Presiden Prabowo Subianto.
Demonstrasi yang dikenali sebagai “Heading to Bankrupt Indonesia” itu menyaksikan para pelajar berarak menuju ke kawasan mercu tanda Bundaran HI sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan anti-kerajaan.
Bagaimanapun, sebahagian kumpulan berkenaan dilaporkan dihalang oleh pihak polis ketika dalam perjalanan ke lokasi perhimpunan, sekali gus mencetuskan ketegangan antara peserta demonstrasi dan pasukan keselamatan.
Antara tuntutan utama peserta ialah pembatalan kenaikan harga bahan api yang diumumkan baru-baru ini, selain desakan agar kerajaan menurunkan kos keperluan asas rakyat.
Seorang mahasiswa, Rafael Arreva berkata, mereka membantah dasar kerajaan yang disifatkan sebagai membazir dan tidak jelas hala tuju.
“Dasar pembaziran seperti agensi pemakanan negara, kenaikan harga minyak, keadaan fiskal yang tidak terkawal dan penarikan subsidi berpunca daripada program besar seperti makanan nutrisi percuma dan koperasi desa yang tidak jelas arah tuju,” katanya.
Sementara itu seorang lagi mahasiswa, Jundi Al Muhandis pula melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan fiskal negara itu yang menurutnya berisiko merosot.
“Saya bimbang keadaan fiskal akan runtuh. Walaupun angka defisit kelihatan baik, hakikatnya perbelanjaan sebenar belum sepenuhnya dilaksanakan. Dengan keadaan global yang tidak menentu dan program populis yang berterusan, saya tidak fikir kerajaan dapat bertahan,” katanya.
Selain isu kos sara hidup, protes itu turut menyentuh kebimbangan terhadap peluasan peranan ketenteraan dalam urusan awam, yang dikhuatiri boleh mengundang kembali unsur autoritarian dalam pentadbiran negara.