BOLOGNA: Polis Itali menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan di bandar Bologna pada malam kedua protes susulan kematian seorang lelaki warga Maghribi ketika ditahan pihak berkuasa.
Ratusan penduduk berhimpun pada Isnin bagi membantah kematian Abderrahim Fakir, 42, seorang usahawan Maghribi yang meninggal dunia ketika ditahan polis pada malam sebelumnya selepas pihak berkuasa menerima laporan mengenai tingkah laku agresif.
Menurut laporan media tempatan, beberapa penunjuk perasaan membaling mercun ke arah pasukan keselamatan, manakala polis bertindak balas dengan langkah kawalan rusuhan bagi mengawal keadaan.
Insiden itu mencetuskan pertikaian politik yang semakin memuncak di Itali, dengan rakaman video penahanan Fakir yang tersebar luas di media sosial menjadi perhatian umum.
Video yang dirakam oleh seorang penduduk menunjukkan Fakir dalam keadaan tertiarap di atas jalan ketika dua anggota polis menahannya.
Dalam rakaman tersebut, Fakir kedengaran berulang kali menjerit meminta pertolongan sambil menyebut, “Tolong, tolong, sudah cukup,” sebelum suaranya tidak lagi kedengaran.
Polis kemudian dilihat mengikat kedua-dua pergelangan kakinya sebelum memeriksa tanda-tanda vital mangsa.
Kejadian itu mengundang perbandingan dengan kes kematian George Floyd di Minneapolis, Amerika Syarikat pada 2020, yang mencetuskan gelombang protes global di bawah gerakan Black Lives Matter.
Di Bologna, sebahagian penunjuk perasaan turut dilihat melutut sambil mengangkat penumbuk ke udara sebagai simbol solidariti yang sering dikaitkan dengan gerakan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini, bersama beberapa pemimpin kerajaan berhaluan kanan, mempertahankan tindakan anggota polis yang terlibat dan mengutuk demonstrasi berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Eropah, Tommaso Foti, menyifatkan laungan “polis pembunuh” yang kedengaran dalam protes tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.
Bagaimanapun, bantahan itu mendapat sokongan Datuk Bandar Bologna serta beberapa kesatuan sekerja utama negara itu.
Ahli politik pembangkang pula mengkritik kerajaan atas cara pengendalian kes tersebut dan mendakwa beberapa dasar semasa telah menyumbang kepada peningkatan keganasan terhadap golongan tertentu.
Ahli Parlimen berhaluan tengah kiri, Francesco Boccia, memberi amaran agar Itali tidak mencontohi apa yang beliau gelar sebagai “model ICE”, merujuk kepada agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE), yang pernah dikaitkan dengan beberapa insiden kematian ketika operasi penguatkuasaan.
Menurut laporan media, anggota polis menggunakan semburan lada dan menahan Fakir di atas tanah ketika cuba menggari beliau selepas lelaki itu didakwa bertindak agresif.
“Adik saya meminta pertolongan... dan mereka membunuhnya,” kata salah seorang saudara Fakir kepada akhbar Corriere Della Sera.
Sementara itu, pihak pendakwa raya Bologna telah membuka siasatan rasmi di bawah prosedur undang-undang baharu yang diperkenalkan baru-baru ini.
Pihak berkuasa turut mengarahkan rakaman kamera badan anggota polis yang terlibat diserahkan bagi membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Fakir.