Ratusan penduduk Jepun saman kerajaan berhubung respons iklim tidak memadai

Pada musim panas ini, suhu purata di Jepun direkodkan jauh lebih tinggi berbanding rekod sebelum ini, menjadikannya musim panas paling panas sejak rekod bermula pada 1898. - Foto fail/REUTERS
TOKYO: Lebih 450 penduduk dari seluruh Jepun memfailkan saman di Mahkamah Daerah Tokyo pada Khamis dengan mendakwa bahawa respons kerajaan terhadap perubahan iklim adalah tidak memadai serta menuntut pampasan sebanyak 1,000 yen (kira-kira AS$6.40) bagi setiap plaintif, lapor Xinhua.
Menurut akhbar Asahi Shimbun, seramai 452 plaintif itu berhujah bahawa peningkatan haba melampau dan kekerapan bencana alam yang mengancam nyawa, kesihatan serta harta benda, sekali gus melanggar hak mereka untuk hidup dengan ketenangan serta menikmati persekitaran yang mampan.
Saman itu merujuk kepada sasaran yang ditetapkan di bawah Perjanjian Paris, yang telah diterima oleh kerajaan Jepun, namun plaintif mendakwa pihak berkuasa gagal mengambil langkah mencukupi untuk mencapainya.
Pada musim panas ini, suhu purata di Jepun direkodkan jauh lebih tinggi berbanding rekod sebelum ini, menjadikannya musim panas paling panas sejak rekod bermula pada 1898.
Pada sidang media yang diadakan pada Khamis, seorang daripada plaintif, Profesor Madya Universiti Tokyo Kohei Saito, berkata amat menyedihkan melihat kanak-kanak tidak dapat bermain di luar rumah cuaca panas yang melampau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


