Skip to main content

Dunia

Ratusan sekolah terjejas, kebakaran tercetus ketika protes pelajar di Perancis

Basikal perkongsian awam Velib, tong sampah dan pelbagai objek terbakar di atas jalan ketika pelajar sekolah menengah dan universiti bertempur dengan polis antirusuhan Perancis dalam satu protes pelajar. - Foto REUTERS
Basikal perkongsian awam Velib, tong sampah dan pelbagai objek terbakar di atas jalan ketika pelajar sekolah menengah dan universiti bertempur dengan polis antirusuhan Perancis dalam satu protes pelajar. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kebakaran berlaku di beberapa sekolah di Perancis ketika protes pelajar mengenai pembiayaan pendidikan dan keadaan pembelajaran merebak ke seluruh negara.
  • Seramai 1,949 individu ditahan dan 305 anggota polis cedera dalam protes yang menjejaskan lebih 1,000 sekolah menengah serta sekurang-kurangnya 30 universiti.
  • Kerajaan Perancis mengadakan mesyuarat krisis susulan ketegangan, dengan demonstrasi bertukar menjadi keganasan bandar dan perkhidmatan awam turut terjejas.

PARIS: Kebakaran dilaporkan berlaku di beberapa sekolah di Perancis ketika gelombang protes pelajar berhubung pembiayaan pendidikan dan keadaan pembelajaran merebak ke seluruh negara.

Kebakaran dilaporkan di dua sekolah menengah di Nantes, manakala sebuah lagi sekolah di Rouen mengalami kerosakan pada bahagian pintu masuk akibat kebakaran.

Pelajar membantah isu kekurangan guru dan kakitangan, bilik darjah yang sesak serta bangunan sekolah yang uzur.

Pada Khamis, pelajar universiti turut menyertai demonstrasi dengan tuntutan yang sama.

Kementerian Dalam Negeri Perancis memaklumkan seramai 1,949 individu ditahan manakala 305 anggota polis cedera dalam protes yang berlaku pada Khamis.

Perdana Menteri, Sebastien Lecornu, mengadakan mesyuarat krisis susulan ketegangan yang semakin memuncak, dengan kerajaan menyifatkan demonstrasi itu telah bertukar menjadi "keganasan bandar".

Di Nantes, kebakaran dipercayai berpunca daripada tong sampah yang dibakar sebelum api merebak ke bangunan sekolah.

Di Marseille, kakitangan sebuah sekolah dilaporkan disimbah petrol ketika protes, manakala seorang pengetua di Auchel cedera akibat terkena mercun.

Protes yang bermula minggu lalu kini menjejaskan 1,027 sekolah menengah di seluruh negara, termasuk 222 sekolah yang disekat pintu masuknya, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Sekurang-kurangnya 30 universiti turut dilaporkan terjejas, termasuk di Paris dan Rennes, manakala perkhidmatan pengangkutan awam di Marseille dan Strasbourg dihentikan sementara susulan insiden vandalisme dan ancaman keselamatan.

Gelombang bantahan itu turut mencetuskan pertikaian politik apabila kerajaan dan beberapa pemimpin haluan kanan menuduh kumpulan kiri radikal mengapi-apikan protes, manakala pemimpin kiri menegaskan punca sebenar ketidakpuasan hati pelajar perlu diberi perhatian.

Datuk Bandar Marseille, Benoit Payan, mengutuk keganasan yang berlaku tetapi mengakui kebimbangan pelajar mengenai masa depan serta kualiti perkhidmatan awam adalah wajar dan perlu ditangani.

 

 

Must Watch Video

Advertisement