MADRID: Seorang pemuda Maghribi berpaut pada bahagian bawah bas sebuah pasukan kelab bola sepak Sepanyol, Real Valladolid, selama berjam-jam untuk sampai ke tanah besar Eropah dengan menaiki feri dari Ceuta, sebuah wilayah enklaf di Afrika Utara, menurut Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media.
Pemuda berusia 17 tahun itu bersembunyi di bahagian gandar belakang, bersebelahan tayar, dan bukan sahaja mengharungi perjalanan feri selama 45 minit ke Algeciras malah turut menempuh perjalanan sejauh lebih 100 kilometer di lebuh raya, lapor penyiar Sepanyol, RTVE, pada Isnin.
Apabila tenaganya semakin berkurangan, dia mengetuk lantai bas yang sedang bergerak itu dan menjerit meminta tolong.
Para pemain bola sepak berkenaan, yang dalam perjalanan pulang selepas perlawanan divisyen dua menentang AD Ceuta FC, terdengar bunyi tersebut lalu meminta pemandu supaya segera memberhentikan bas.
Mereka menemui penumpang gelap itu di bahagian bawah bas dalam keadaan keletihan dan mengalami hipotermia.
Para pemain memberikan air, makanan dan jaket kepada remaja itu, yang meminta supaya dibawa ke pusat perlindungan kanak-kanak dan remaja di Algeciras.
Seorang jurubahasa Arab diminta membantu komunikasi menerusi panggilan telefon, tambah RTVE.
Doktor pasukan itu memberikan rawatan kecemasan sehingga ambulans tiba.
Paramedik mendapati remaja itu berada dalam keadaan sangat lemah, namun selain itu, dia hanya mengalami lebam ringan dalam perjalanan tersebut.
Dia kemudian diletakkan di bawah jagaan perkhidmatan kebajikan.
Naib Presiden Real Valladolid, Jorge Santiago, memberitahu pihak media bahawa seluruh pasukan terkejut dengan kejadian itu.
"Apabila seseorang mempertaruhkan nyawa demi masa depan yang lebih baik, ia menyedarkan kita tentang keistimewaan yang kita nikmati," kata Santiago seperti yang dipetik.
Kira-kira 72,000 pendatang tiba di Ceuta pada 30 dan 31 Julai. Kebanyakan mereka meninggalkan wilayah enklaf itu dalam tempoh beberapa jam, namun beberapa ribu orang termasuk ramai kanak-kanak tanpa penjaga masih di situ dalam keadaan sukar, dengan harapan dapat bekerja di Sepanyol dan menyara keluarga mereka di tanah air.
Golongan dewasa hampir tiada peluang untuk mendapatkan suaka kerana Maghribi dianggap sebagai negara asal yang selamat.
Bagaimanapun, kanak-kanak tanpa penjaga hanya boleh dihantar pulang di bawah syarat-syarat yang sangat ketat.
Sehubungan itu, mereka akan dipindahkan secara berperingkat ke tanah besar Sepanyol, walaupun terdapat tentangan daripada kerajaan wilayah yang berhaluan konservatif dan kanan ekstrem.
-- BERNAMA-dpa