Jangkitan baharu COVID-19 di Republik Czech mengejutkan banyak pihak apabila buat kali pertama mencatatkan jumlah harian melebihi 3,000 kes pada Jumaat, lapor Reuters.

Perkembangan membimbangkan itu hanya sehari selepas negara berkenaan merekodkan kes harian tinggi baharu iaitu melebihi 2,000 kes.

Negara dengan populasi 10.7 juta orang itu menjadi negara Eropah terkini yang mengalami kenaikan ketara jangkitan pandemik tersebut di Eropah. Pada September, kes positif baharu harian berada pada jumlah sekitar 1,000 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan pada Khamis, negara itu mengesan 3,130 kes baharu pada Khamis, iaitu pertambahan sebanyak 2,137 kes berbanding hari sebelumnya.

Secara keseluruhan, Republik Czech mencatatkan jumlah jangkitan sebanyak 44,155 kes.

Perkembangan itu sedikit sebanyak suatu tamparan hebat kepada rakyatnya. Pada sekitar Julai lalu, sewaktu seluruh dunia dalam keadaan berjaga-jaga dalam menangani ancaman pandemik berkenaan, warga Prague sebaliknya melangsungkan acara sosial besar-besaran.

Acara yang dilangsungkan di mercutanda ikonik bandar raya itu, Charles Bridge, menghimpunkan warga tempatan dalam satu majlis makan malam sebagai tanda mereka 'tidak perlu gentar' pada ancaman koronavirus.

BACA: Warga Prague ucap 'selamat tinggal' kepada COVID-19 dengan acara makan malam