KATHMANDU: Operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-12 pada Isnin dengan lebih 5,500 orang masih hilang selepas banjir besar yang dipercayai berpunca daripada runtuhan glasier melanda kawasan sempadan Nepal dan China bulan lalu.
Pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 1,384 orang maut dalam bencana itu, termasuk 1,341 kematian di Nepal dan 43 di Tibet.
Seramai 4,996 orang masih hilang di Nepal manakala 519 lagi belum ditemui di Tibet.
Harapan untuk menemukan mangsa yang terselamat masih ada selepas empat individu berjaya diselamatkan sejak Jumaat lalu, termasuk tiga yang ditemui dalam terowong loji hidroelektrik yang ditenggelami banjir.
Menteri Tenaga Nepal, Biraj Bhakta Shrestha, berkata operasi menyelamat berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca buruk, bentuk muka bumi yang sukar dan masalah perhubungan.
Di Gyirong, Tibet, pasukan penyelamat menggunakan jengkaut dan radar penembus tanah untuk mencari mangsa selepas bangunan kastam utama di bandar sempadan itu musnah sepenuhnya akibat banjir.
Laluan jalan ke kawasan berkenaan hanya dibuka semula minggu lalu bagi membolehkan jentera berat dibawa masuk.
Sementara itu, Nepal memohon bantuan daripada Dana Tindak Balas Kehilangan dan Kerosakan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu menampung kos pemulihan bencana.
PBB turut melancarkan rayuan dana sebanyak AS$50 juta untuk membantu lebih 84,000 mangsa terjejas, sambil mengakui kerosakan besar terhadap infrastruktur menyukarkan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Pakar berkata kejadian banjir akibat glasier semakin kerap berlaku susulan peningkatan suhu global, dengan kajian PBB menunjukkan insiden seumpamanya kini berlaku hampir lima kali lebih kerap berbanding pada 1950.