Skip to main content

Dunia

Ribuan penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan besar di Kanada

The Bald Range wildfire glows from behind hills near a residential street in Summerland, British Columbia, Canada, August 7, 2026. Picture taken with a mobile phone. Terry Fries/Handout via REUTERS. THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES. MANDATORY CREDIT
Kebakaran hutan Bald Range kelihatan marak di sebalik kawasan berbukit berhampiran kawasan perumahan di Summerland, British Columbia, Kanada. - Foto REUTERS
Advertisement

SUMMERLAND: Ribuan penduduk di wilayah British Columbia, barat Kanada, terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas kebakaran hutan yang merebak dengan pantas berganda saiz dalam tempoh kurang 24 jam.

Menurut Perkhidmatan Kebakaran Hutan British Columbia (BC Wildfire Service), kebakaran Bald Range kini meliputi lebih 95 kilometer persegi di daerah Summerland dan Okanagan-Similkameen serta masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

Pihak berkuasa mengarahkan pemindahan keseluruhan penduduk Summerland yang mempunyai kira-kira 12,000 penduduk, manakala ribuan lagi di kawasan berhampiran termasuk Peachland turut diarahkan berpindah sebagai langkah keselamatan.

Pegawai kecemasan Okanagan-Similkameen, Erick Thompson, menyifatkan kebakaran itu sebagai antara yang paling pantas merebak dalam tempoh singkat yang pernah disaksikannya di kawasan yang sememangnya terdedah kepada kebakaran hutan.

Bekalan elektrik di beberapa kawasan terjejas turut terputus, manakala ratusan penghuni pusat jagaan dan warga emas dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Perdana Menteri British Columbia, David Eby, berkata anggota bomba, polis, pasukan kecemasan dan komuniti setempat bertungkus-lumus sepanjang malam untuk melindungi penduduk serta mengawal kebakaran.

Setakat ini, jumlah rumah dan bangunan yang musnah masih belum dapat dipastikan, namun rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kediaman terbakar ketika penduduk bergegas meninggalkan kawasan terjejas.

Kanada berdepan ratusan kebakaran hutan musim panas ini, dengan keadaan cuaca kering dan panas menyebabkan api mudah merebak serta memaksa pemindahan besar-besaran di beberapa wilayah.

 

 

Must Watch Video

Advertisement