KOTA TINGGI: Pengguna Internet perlu mempertingkat literasi keselamatan digital bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian (scam) yang semakin licik dan kompleks ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kepantasan teknologi serta penggunaan peranti pintar masa kini mendedahkan masyarakat kepada risiko kecurian data dan pemindahan wang haram dalam tempoh beberapa saat.
Beliau berkata meskipun kemajuan teknologi memudahkan urusan harian, tahap kewaspadaan pengguna tetap menjadi benteng utama bagi mengelak daripada terus terperdaya dengan taktik penjenayah siber.
"Masalah paling besar negara hari ini ialah ancaman ruang siber, jika dahulu jenayah berlaku secara fizikal, kini penjenayah hanya menggunakan telefon pintar untuk memperdaya mangsa," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kota Tinggi di Dewan Kejora, Bandar Penawar di sini hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kerahsiaan maklumat perbankan dan nombor pengenalan diri (PIN) kerana institusi bank tidak akan memulangkan wang yang hilang akibat kelalaian sendiri.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memperkukuh kerangka perundangan negara menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan digital menangani kandungan berbahaya serta melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak.
Katanya, pindaan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah juga telah dilaksanakan bagi memperkasakan tindakan terhadap jenayah kewangan dalam talian termasuk penyalahgunaan akaun keldai, selain memperkukuh perlindungan buat mangsa buli siber, gangguan serta ugutan.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Johor Syed Isa Alsagoff berkata sebanyak 588 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di seluruh negeri melibatkan 10 daerah dengan 38,049 peserta setakat September lepas.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperluas kesedaran keselamatan digital menerusi pelbagai inisiatif advokasi dan pendidikan kepada segenap lapisan masyarakat.
"Sebagai sebahagian daripada Kempen Internet Selamat 2026, MCMC Johor menyasarkan penganjuran 10 Karnival Komuniti di seluruh negeri.
"Setakat hari ini, enam karnival telah berjaya dianjurkan di Kulai, Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Mersing dan Tangkak, manakala Kota Tinggi merupakan lokasi ketujuh penganjuran program berkenaan tahun ini," katanya.
-- BERNAMA