FLORIDA: Puting beliung dan ribut kuat melanda Palm Beach Gardens, Florida, Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan kemusnahan teruk di kawasan tersebut.

Angin kencang dengan kelajuan 100 kilometer sejam mengakibatkan kenderaan serta kediaman penduduk di kawasan sekitar alami kemusnahan.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca Kebangsaan Miami, puting beliung itu melanda kawasan berdekatan Palm Beach Gardens Medical Center sebelum menuju ke arah timur laut pantai.

Kerosakan akibat ribut tersebut telah memaksa pihak berkuasa untuk menutup jalan utama di kawasan tersebut untuk pasukan petugas membersihkan kesan-kesan ribut serta memeriksa bangunan yang terjejas.

Imej dari tempat kejadian menunjukkan kereta terbalik di atas satu sama lain dan beberapa pokok yang tumbang menghempap rumah dan kenderaan.

Jabatan Polis Palm Beach Gardens bagaimanapun mengesahkan tiada kecederaan yang serius atau kematian dilaporkan akibat bencana alam itu.