Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ribut nor'easter landa timur laut AS, seorang maut dan ribuan penerbangan terganggu

Tidal flooding next to homes, as a strong nor'easter coastal storm batters the US northeast coast, in Hampton, New Hampshire, US, September 27, 2026. REUTERS/CJ Gunther
Air pasang menyebabkan banjir berhampiran kawasan kediaman ketika ribut pesisir pantai kuat nor'easter melanda Hampton, New Hampshire, AS. - Foto REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan juta penduduk di timur laut Amerika Syarikat (AS) berdepan gangguan besar akibat ribut kuat jenis nor'easter yang melanda wilayah itu pada hujung minggu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS) memaklumkan ribut berkenaan membawa banjir pantai berbahaya, angin kencang serta hujan lebat ke beberapa kawasan termasuk New York City dan Boston.

Pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di New York dan New Jersey susulan banjir pesisir yang melanda beberapa kawasan, manakala hujan lebat dan angin kuat turut diramalkan berlaku dari Virginia hingga Maine.

Di Brooklyn, New York City, seorang lelaki dilaporkan maut selepas dihempap pokok tumbang akibat angin kencang.

Ribut itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas dengan lebih 160,000 isi rumah di timur laut negara berkenaan terputus bekalan kuasa, menurut laman pemantauan PowerOutage.

Dalam sektor pengangkutan udara, lebih 2,400 penerbangan mengalami kelewatan manakala 1,199 penerbangan lagi dibatalkan setakat Sabtu, menurut data FlightAware.

Paras air pasang yang dipengaruhi fenomena bulan purnama dijangka memburukkan lagi keadaan banjir pantai. 

Beberapa jalan dan rumah di komuniti pesisir Surf City serta Manasquan di New Jersey dilaporkan ditenggelami air.

NWS menggesa penduduk di kawasan rendah berhampiran pantai supaya bersedia menghadapi banjir besar yang boleh menenggelamkan jalan raya dan menjejaskan kediaman serta premis perniagaan.

Di New York, pihak berkuasa memberi amaran mengenai tiupan angin sehingga 86 kilometer sejam sepanjang hujung minggu yang berpotensi menyebabkan lebih banyak pokok dan talian elektrik tumbang.

Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani, menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan tidak meredah air banjir sama ada dengan berjalan kaki atau memandu.

Keadaan cuaca buruk turut memaksa beberapa acara sukan dan hiburan dibatalkan.

Perlawanan bola sepak profesional antara Red Bull New York dan St Louis City SC dibatalkan, manakala Festival Global Citizen di Central Park, New York yang dijadual menampilkan Lauryn Hill, Wyclef Jean dan John Legend turut dibatalkan.

Konsert penyanyi Britain, Ed Sheeran, di Stadium Gillette berhampiran Boston juga dibatalkan atas faktor keselamatan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement