TOKYO:Pasukan penyelamat  berusaha mengeluarkan lebih 1,000 kenderaan yang terkandas selama lebih dua hari di sebuah lebuh raya di Jepun selepas negara itu dilanda ribut salji teruk.

Bagaimanapun pihak berkuasa telah mengagihkan makanan serta selimut kepada pemandu yang terperangkap di Lebuhraya Kanetsu yang menghubungkan Tokyo dan Niigata.

Salji teruk yang bermula pada petang Rabu itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan.

Ia juga menyaksikan lebih 10,000 kediaman di utara dan barat negara itu terputus bekalan elektrik.

Media tempatan, Kyodo News melaporkan, terdapat banyak kesesakan lalu lintas berlaku berpunca daripada Lebuhraya Kanetsu.

Menurut pihak berkuasa, kesesakan sepanjang 16.5 kilometer itu berpunca daripada sebuah treler yang terkandas akibat salji.

Selain itu, kesesakan lalu lintas turut berlaku di Lebuhraya Joshinetsu yang menyaksikan 300 kenderaan terkandas.

Agensi Meteorologi memaklumkan, musim sejuk kali ini disifatkan paling sejuk tahun ini dan dijangka berterusan hingga hujung minggu.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Yoshihide Suga memanggil kabinetnya bermesyuarat tergempar dan mendesak orang ramai supaya berhati-hati.

Ribut salji itu menyusul di ketika Jepun sedang bergelut memerangi gelombang ketiga COVID-19, sekali gus memberi tekanan kepada pusta perubatan dan hospital di negara matahari terbit itu.