BRATISLAVA: Robert Fico dilantik sebagai Perdana Menteri Slovakia buat kali keempat, susulan kemenangan parti Smer pimpinannya dalam pilihan raya umum pada September lepas.

Presiden Slovak Zuzana Caputova melantik kerajaan baharu itu di istana presiden di Bratislava pada Rabu, lapor Xinhua.

Ketika bercakap kepada barisan Kabinet yang baru dilantik, Caputova menekankan mengenai cabaran semasa seperti harga tenaga yang tinggi, akses penjagaan kesihatan dan pemulihan ekonomi.

Parti Smer memenangi 42 kerusi dalam Dewan yang mempunyai 150 ahli, kurang 75 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, pada awal Oktober parti Smer, parti Demokrasi Sosial (Hlas) dan Parti Kebangsaan Slovak bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran.

Dalam kerajaan campuran itu, parti Smer menerajui tujuh kementerian diikuti parti Hlas yang mengetuai enam jabatan dan mengambil peranan timbalan perdana menteri.

Selain itu, Parti Kebangsaan Slovak bertanggungjawab memimpin Kementerian Budaya, Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Sukan dan Pelancongan yang akan diwujudkan tidak lama lagi.

-- BERNAMA