DUNIA
Rundingan AS-China bersambung hari kedua, fokus eksport mineral

Pemandangan luar Lancaster House di London, tempat berlangsungnya rundingan perdagangan antara AS dan China. - Foto AP
LONDON: Rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memasuki hari kedua di London hari ini, dengan kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu berusaha menyelesaikan perbalahan berpanjangan berhubung tarif, sekatan eksport, dan bekalan logam nadir bumi.
Delegasi AS diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, bersama Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer. Manakala, China diwakili oleh Naib Perdana Menteri He Lifeng dan beberapa pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan.
Rundingan tersebut hadir selepas sesi rundingan awal pada Mei di Geneva yang menyaksikan sedikit kelonggaran terhadap eksport China bagi beberapa bahan mentah strategik.
Di London, perbincangan tertumpu kepada isu eksport logam nadir bumi yang amat penting dalam pembuatan cip semikonduktor dan kenderaan elektrik, sektor yang kini menjadi pertaruhan utama dalam perebutan dominasi teknologi global.“Kami melihat rundingan ini sebagai peluang penting untuk menetapkan semula hubungan perdagangan dengan China berdasarkan keadilan dan kepastian,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan ringkas.
Dalam satu kenyataan di Washington, Presiden Donald Trump turut melahirkan keyakinan bahawa rundingan kali ini bakal membuahkan hasil.
“Laporan awal daripada pasukan saya sangat memberangsangkan. Saya percaya kita semakin hampir ke arah persetujuan yang memberi manfaat kepada rakyat Amerika, terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan automotif.”
Sementara itu, seorang pegawai kanan China yang tidak mahu dinamakan memberitahu media tempatan bahawa Beijing sedia mempertimbangkan kelonggaran kawalan eksport sekiranya Washington menunjukkan komitmen yang sama, termasuk menarik balik tarif tambahan dan menghentikan sekatan ke atas syarikat teknologi China.
“Kami mahu hubungan dua hala yang stabil dan saling menguntungkan. Tetapi langkah unilateral oleh AS tidak harus berterusan,” katanya.
Pasaran global memberi reaksi positif kepada perkembangan ini, dengan indeks Dow Jones dan Nasdaq mencatat kenaikan sederhana semalam.
Nilai dolar AS turut menyusut sedikit, mencerminkan jangkaan pelabur bahawa ketegangan dagang antara dua ekonomi terbesar dunia itu bakal reda.
Menurut sumber diplomatik yang rapat dengan rundingan, sesi perbincangan dijangka bersambung hingga lewat petang hari ini.
Satu kenyataan bersama mungkin dikeluarkan sekiranya terdapat kemajuan ketara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami