Skip to main content

Dunia

Rundingan damai: AS-Iran tandatangani MoU henti perang

Iran, US Flag
Perjanjian berkenaan merupakan hasil rundingan intensif yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Rabu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara, menurut seorang pegawai AS kepada Reuters.

Pegawai itu berkata, memorandum berkenaan telah ditandatangani secara digital lebih awal pada Ahad oleh Naib Presiden AS, JD Vance dan ketua perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, dengan proses itu turut disaksikan oleh Trump.

Perjanjian berkenaan merupakan hasil rundingan intensif yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu dan menjadi asas kepada usaha menamatkan konflik yang telah mencetuskan ketegangan serantau serta menjejaskan pasaran tenaga global.

Sebelum ini, pegawai kanan AS mendedahkan bahawa MoU tersebut merangkumi pelbagai komitmen strategik melibatkan aspek keselamatan, ekonomi dan program nuklear Iran.

Antara perkara yang dipersetujui termasuk komitmen kedua-dua pihak untuk menghentikan operasi ketenteraan, membuka laluan kepada rundingan lanjut bagi mencapai perjanjian damai yang lebih menyeluruh serta langkah berperingkat ke arah pelonggaran sekatan terhadap Tehran.

Perjanjian itu juga dijangka membuka semula Selat Hormuz yang merupakan laluan penting perdagangan minyak dunia.

Trump sebelum ini menyifatkan perjanjian tersebut sebagai langkah penting ke arah menamatkan konflik dan memulihkan kestabilan di Asia Barat.

Bagaimanapun, pelaksanaan penuh perjanjian itu dijangka bergantung kepada pematuhan kedua-dua pihak terhadap komitmen yang telah dipersetujui dalam MoU berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement