GWANGJU: Pihak penyelamat Korea Selatan menemui seorang lelaki di sebalik runtuhan bangunan yang berlaku di tapak pembinaan di bandar selatan gwangju pada Khamis.

Penemuan itu berlaku pada hari ketiga Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan enam pekerja binaan yang dilaporkan hilang dalam kejadian runtuhan itu.

Bagaimanapun, setakat laporan dikeluarkan, mangsa tidak dapat dikenal pasti sama ada masih bernyawa atau tidak.

Operasi SAR itu digerakkan oleh puluhan kru, dibantu oleh anjing pengesan dan dron yang dilengkapi kamera canggih bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Tahap kerosakan bangunan itu begitu teruk sehinggakan pihak penyelamat terpaksa memperlahankan operasi kerana bimbang akan ketidakstabilan struktur serpihan bangunan.

Kira-kira 10 kenderaan musnah dan hampir 200 isi rumah serta kedai berdekatan terpaksa berpindah berikutan sebahagian bangunan pangsapuri bertingkat tinggi runtuh pada Selasa.

Bangunan yang terletak di daerah Hwajeongdong itu sedang dalam pembinaan.