Seorang maut manakala dua lagi hilang dalam insiden runtuhan di tapak pembinaan sebuah hotel di New Orleans, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Perkara itu disahkan jabatan bomba dalam sidang media yang turut menjangkakan kemungkinan berlakunya satu lagi runtuhan disebabkan struktur bangunan yang tidak stabil.

Bomba masih meneruskan pencarian dua mangsa yang hilang dalam insiden runtuhan bangunan Hotel Hard Rock yang terletak di persimpangan Rampart Street dan Canal Street itu.





Menurut laporan portal itv.com dan apnews.com, kira-kira 20 mangsa dibawa ke hospital namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Beberapa saksi yang berkata bunyi kuat daripada runtuhan itu mengingatkan mereka kepada insiden serangan pengganas pada 2001 di mana ada di antara mereka menyangka bangunan itu dilanggar pesawat.

Sementera itu, Gabenor Louisiana, John Bel Edwards meminta orang ramai tidak mendekati lokasi runtuhan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


Punca kejadian masih disiasat.