Skip to main content
Advertisement

Dunia

Runtuhan salji di Himalaya Nepal: Dua mayat ditemukan, lebih 10 masih hilang

Snow-covered peaks of the Himalayas during an organised media tour, in Shigatse, Tibet Autonomous Region, China September 6, 2026. REUTERS/
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada pendaki gunung berpengalaman telah diterbangkan dari Kathmandu ke kawasan kejadian, dengan operasi dijangka diteruskan pada Isnin. - Foto REUTERS
Advertisement

KATHMANDU: Dua mayat ditemukan manakala lebih 10 individu dilaporkan masih hilang selepas runtuhan salji melanda sebuah kumpulan pendaki di kawasan perkhemahan Gunung Himlung Himal di Nepal pada Ahad.

Runtuhan salji itu berlaku di kem pangkalan puncak setinggi 7,126 meter yang terletak di daerah Manang berhampiran sempadan Nepal-Tibet.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada warga Nepal, termasuk pendaki dan kakitangan sokongan yang dihantar lebih awal untuk menyiapkan kem, mengurus laluan serta memasang tali keselamatan bagi pendaki asing yang dijadual tiba kemudian.

Usaha mencari dan menyelamat menghadapi kesukaran akibat cuaca buruk serta salji tebal yang menghalang helikopter dan pasukan penyelamat daripada tiba di lokasi sejurus selepas kejadian.

Menurut Bibhuti Chand Thakur daripada Himalaya Holidays Trekking, sekurang-kurangnya lapan anggota ekspedisinya dilaporkan hilang, namun jumlah sebenar mangsa yang masih tidak dapat dikesan belum dapat dipastikan.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada pendaki gunung berpengalaman telah diterbangkan dari Kathmandu ke kawasan kejadian, dengan operasi dijangka diteruskan pada Isnin.

Daerah-daerah pergunungan di Nepal dilaporkan mengalami hujan dan salji berterusan sejak beberapa hari lalu, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan salji serta mewujudkan keadaan berbahaya kepada industri pelancongan pendakian negara itu.

Awal minggu ini, pendaki di Gunung Manaslu, puncak kelapan tertinggi di dunia, turut terpaksa meninggalkan kawasan pendakian berikutan ancaman runtuhan salji yang semakin meningkat.

Kejadian terbaharu itu berlaku kurang dua bulan selepas enam pendaki Nepal terkorban di Broad Peak, Pakistan, termasuk pendaki terkenal Britain-Nepal, Nirmal Purja.

Pada masa sama, Nepal masih berdepan kesan bencana banjir dan tanah runtuh besar di kawasan sempadan Nepal-Tibet pada Ogos lalu yang mengorbankan lebih 1,400 orang, manakala lebih 6,000 lagi masih dilaporkan hilang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement