ST. PETERSBURG: Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia berkata pada Rabu, pihaknya merampas kira-kira 500 kilogram (kg) kokain yang disembunyikan dalam tuna beku yang diimport dari Ecuador di pelabuhan St. Petersburg, lapor Xinhua.
Dadah itu ditemukan dalam kontena kargo yang membawa ikan tuna beku yang diimport secara sah di terminal kontena di pelabuhan tersebut.
Menurut agensi itu, laluan penghantaran berkenaan adalah sebahagian daripada jaringan pemerdagangan yang digunakan untuk menyeludup sejumlah besar kokain dari Amerika Latin ke Rusia untuk diedarkan.
Seorang warga Rusia yang disyaki mengendalikan penyeludupan antarabangsa telah ditahan.
Semasa menggeledah kediaman suspek, pihak berkuasa turut merampas peranti storan digital yang mengandungi dompet mata wang kripto dengan aset elektronik kira-kira US$613,000, 13 jam tangan mewah bernilai lebih US$1.3 juta dan lima kenderaan mewah bernilai sekurang-kurangnya US$1.65 juta.
Penyiasat telah membuka kes jenayah berkaitan percubaan mengedar narkotik dalam skala yang sangat besar.
-- BERNAMA-XINHUA