KUANTAN: Sebanyak 137 ekor ikan asing invasif spesies baung ekor merah dengan berat lebih 1,000 kilogram (kg) ditangkap menerusi Program Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah Fest yang dilaksanakan di tujuh lokasi di negeri ini.
Program berkenaan merupakan inisiatif antara Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Perikanan dan Majlis Belia Pahang dalam mempergiat usaha mengawal serta mengurangkan populasi baung ekor merah yang berpotensi mengancam keseimbangan ekosistem perairan darat dan kelangsungan spesies ikan tempatan.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain dalam kenyataan berkata usaha menangani ancaman ikan asing invasif seperti baung ekor merah memerlukan tindakan berterusan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan keseimbangan ekosistem perairan darat terus terpelihara.
“Program ini merupakan pendekatan proaktif untuk mengurangkan populasi baung ekor merah di perairan Pahang. Ancaman spesies ikan asing invasif perlu ditangani secara berterusan bagi melindungi spesies ikan tempatan serta mengekalkan keseimbangan ekosistem akuatik,” katanya.
Beliau berkata penyertaan sebanyak 1,110 pemancing di tujuh lokasi membuktikan bahawa komuniti mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan menangani ancaman spesies ikan asing invasif.
“Kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Perikanan dan Majlis Belia Pahang ini wajar diteruskan bagi memperkukuh penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia dan komuniti pemancing, dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan serta perlindungan biodiversiti perairan darat,” katanya.
Beliau berkata ancaman spesies ikan asing invasif tidak boleh dipandang ringan kerana kehadirannya berpotensi mengganggu rantaian makanan, mencetuskan persaingan habitat dan mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan.
“Jabatan Perikanan akan terus mempergiat usaha pemantauan dan kawalan populasi spesies ikan asing invasif, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak melepaskan ikan asing ke perairan umum.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan biodiversiti dan sumber perikanan darat negara terus terpelihara,” katanya.
Berdasarkan keputusan keseluruhan, Tanjung Gahai, Lipis mencatatkan jumlah berat tangkapan tertinggi sebanyak 193.50 kg daripada 16 ikan, diikuti Pekan (191.44 kg, 23 ikan) dan Kuala Krau, Temerloh (182.38 kg, (30 ikan).
Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan memperuntukkan RM450,000 bagi menjayakan program berkenaan bagi mengawal spesies baung ekor merah.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program itu dilaksanakan serentak di tujuh lokasi di seluruh negeri antaranya Pekan, Jerantut dan Temerloh sebagai usaha mengurangkan populasi spesies ikan asing berkenaan.
-- BERNAMA