DUNIA
Rusuhan Indonesia: Aduan Kementerian Pertahanan terhadap Tempo dikhuatiri jejas kebebasan media

Dalam satu artikel, Tempo mendakwa Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin mengusulkan agar kerajaan menetapkan status darurat tentera, yang akan membolehkan pihak tentera memimpin usaha meredakan demonstrasi.
KUALA LUMPUR : Organisasi masyarakat sivil (CSO) Indonesia, Koalisi Masyarakat Sipil memberi amaran bahawa tindakan Kementerian Pertahanan melaporkan majalah Tempo ke Dewan Pers atau majlis media tempatan berhubung liputan mengenai rancangan pelaksanaan darurat tentera, berisiko menjadi ancaman kepada kebebasan media dan demokrasi di Indonesia.
Dalam kenyataan bersama hari ini, gabungan itu menegaskan bahawa media merupakan tiang penting demokrasi kerana memberi ruang kepada rakyat menilai prestasi kerajaan.
Susulan itu, aduan Kementerian Pertahanan yang mendakwa liputan Tempo sebagai berita palsu dianggap langkah yang boleh melemahkan kawalan awam terhadap kerajaan.
Gabungan itu juga menekankan liputan Tempo mengenai darurat tentera susulan rusuhan akibat demonstrasi seharusnya dilihat sebagai bentuk pengawasan masyarakat terhadap pentadbiran.Menurut mereka, keadaan darurat membawa risiko besar terhadap kebebasan sivil kerana memungkinkan sekatan atas nama keselamatan.
Selain itu, kenyataan juga menyoroti laporan media yang mendakwa ada anggota tentera Indonesia (TNI) yang mencetuskan provokasi ketika rusuhan.
Susulan itu, mereka mendesak Kementerian Pertahanan menumpukan usaha kepada penyiasatan dalaman dan memberi akses penuh kepada pasukan pencari fakta bebas serta Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) bagi memastikan kebertanggungjawaban.
Koalisi Masyarakat Sipil juga menegaskan bahawa liputan Tempo telah mematuhi kaedah kewartawanan termasuk berlaku adil dengan berusaha mendapatkan maklum balas Menteri Pertahanan meskipun tidak dijawab.
Dalam pada itu, mereka turut menggesa Dewan Pers kekal bebas dan adil dalam menangani aduan tersebut.
Tegas gabungan itu, tanpa kebebasan media, rakyat tidak dapat melaksanakan hak demokratik untuk menyatakan pendapat serta berpartisipasi dalam pembuatan dasar awam.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan Republik Indonesia (Kemhan) telah melaporkan Majalah Tempo kepada Dewan Pers berhubung laporan mengenai rancangan pelaksanaan darurat tentera ketika rusuhan berlaku di Jakarta.
Dalam satu artikel, Tempo mendakwa Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin mengusulkan agar kerajaan menetapkan status darurat tentera, yang akan membolehkan pihak tentera memimpin usaha meredakan keadaan tersebut.
Bagaimapun, dakwaan itu disangkal Ketua Pusat Informasi dan Hubungan Masyarakat (Karo Infohan) Kemhan, Frega Wenas Inkiriwang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami