Skip to main content

Dunia

Sabotaj disyaki lumpuhkan rangkaian kereta api Belanda, puluhan lokasi terjejas

People gather on a train platform after suspected sabotage disrupted Dutch train services, in Zwolle, Netherlands, in this screengrab taken from a video released on Sep 15, 2026. (Photo: REUTERS)
Orang ramai berkumpul di platform stesen kereta api selepas perkhidmatan tren di Belanda terganggu akibat insiden sabotaj yang disyaki berlaku, di Zwolle, Belanda, dalam rakaman video yang dikeluarkan pada Selasa. - Foto REUTERS
Advertisement

THE HAGUE: Perkhidmatan kereta api di sebahagian besar Belanda tergendala pada Selasa selepas pihak berkuasa mengesyaki berlakunya tindakan sabotaj terancang melibatkan pemasangan tiub pada landasan di beberapa lokasi.

Perjalanan menggunakan kereta api di kebanyakan kawasan tengah dan timur negara itu hampir mustahil dilakukan selepas pihak berkuasa menemui objek pada landasan di kira-kira 30 lokasi berasingan.

Pengendali rangkaian rel Belanda, ProRail dalam satu kenyataan memaklumkan, bahan-bahan berkenaan ditemui di beberapa lokasi dan dipercayai sengaja diletakkan di atas landasan.

“Bahan-bahan ditemui di beberapa lokasi pada landasan dan sengaja ditempatkan di situ.

“Keadaan itu menyebabkan gangguan pada seksyen landasan. Ia dipercayai melibatkan unsur sabotaj,” menurut ProRail.

Menurut syarikat itu, sistem komputer mereka akan mengesan sebarang objek di landasan sebagai petanda bahawa laluan tersebut sedang digunakan, walaupun tiada tren berada di situ.

Keadaan itu secara automatik menyebabkan semua isyarat di laluan berkenaan bertukar merah, sekali gus menghalang tren daripada meneruskan perjalanan.

Jurucakap ProRail, Joke van der Cruysen berkata, sebuah tren dilaporkan melanggar salah satu tiub yang dipasang di landasan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Katanya, sehingga kini pihak berkuasa masih belum mengenal pasti dalang mahupun motif di sebalik insiden berkenaan.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab,” katanya.

Gangguan itu turut memberi kesan kepada lalu lintas jalan raya apabila beberapa lintasan kereta api mengalami kerosakan fungsi akibat sabotaj tersebut.

Menjelang jam 3 petang waktu tempatan, semua halangan di landasan berjaya dialihkan dan perkhidmatan kereta api kembali beroperasi seperti biasa.

Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan yang mengganggu ketenteraman awam dan mengancam nyawa.

“Kita perlu menunggu hasil siasatan polis dengan tenang. Polis dan agensi keselamatan sedang melakukan segala yang mampu untuk menjejaki pelaku,” katanya.

Insiden itu berlaku serentak dengan sambutan Prinsjesdag (Prince's Day) iaitu acara tahunan yang menyaksikan kerajaan membentangkan perancangan belanjawan negara.

Pada hari sama, sekumpulan petani turut mengadakan protes terhadap dasar kerajaan dengan membakar longgokan jerami di tepi beberapa jalan luar bandar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa pengangkutan memaklumkan tiada jalan raya ditutup akibat protes tersebut dan tiada kesesakan besar dilaporkan.

Kumpulan Farmers Defence Force sebelum ini mengumumkan rancangan mengadakan protes sempena Prince's Day, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan insiden sabotaj kereta api berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, kumpulan aktivis iklim Extinction Rebellion turut mengadakan demonstrasi dengan menyimbah cat merah di laluan yang digunakan Raja Willem-Alexander menuju ke Parlimen untuk menyampaikan ucapan pada Prince's Day.

Namun, kumpulan itu menafikan sebarang penglibatan dalam insiden sabotaj terhadap rangkaian kereta api.

“Meletakkan bahan di atas landasan adalah tindakan yang amat berbahaya dan tidak boleh diterima. Mujur ia tidak menyebabkan sebarang kemalangan hari ini,” kata ProRail.

Syarikat itu turut menyatakan kekesalan terhadap gangguan besar yang dialami penumpang dan pengendali logistik susulan kejadian tersebut.

 

 

Must Watch Video

Advertisement