DUNIA
Saham AS tutup lebih tinggi selepas Trump nafi rancang pecat Pengerusi Fed

Trump menegaskan bahawa beliau "tidak merancang" untuk memecat Powell, meskipun terus mengkritik Fed kerana tidak menurunkan kadar faedah dengan lebih agresif. - Gambar/ Reuters
NEW YORK: Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi pada Rabu selepas Presiden AS Donald Trump menafikan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kepimpinan di Rizab Persekutuan (Fed), lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Berikut ialah ringkasan tiga perkara utama berdasarkan artikel:
- Pasaran saham AS ditutup lebih tinggi selepas Presiden Donald Trump menafikan spekulasi mengenai kemungkinan memecat Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, walaupun beliau terus mengkritik dasar kadar faedah semasa.
- Sentimen pelabur turut dipengaruhi oleh laporan inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan, dengan indeks harga pengeluar (PPI) bagi Jun mencatatkan tiada perubahan bulanan dan peningkatan tahunan sebanyak 2.3 peratus.
- Prestasi kewangan syarikat kewangan utama bercampur-campur, dengan saham Bank of America dan Morgan Stanley mencatatkan penurunan, manakala saham Goldman Sachs meningkat susulan hasil dagangan yang melebihi jangkaan.
"Tidak, kami tidak merancang apa-apa," katanya kepada wartawan, namun menambah: "Kami sangat bimbang."
Sentimen pelabur turut dipengaruhi oleh laporan inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan. Indeks harga pengeluar (PPI) AS bagi Jun mencatatkan tiada perubahan bulanan dan meningkat 2.3 peratus tahun ke tahun, kedua-duanya di bawah ramalan ahli ekonomi.
Dari segi prestasi korporat, keputusan kewangan dalam kalangan firma kewangan utama adalah bercampur-campur.
Saham Bank of America susut 0.26 peratus selepas mencatat keputusan suku kedua yang melepasi jangkaan dari segi pendapatan tetapi gagal dari segi hasil.
Morgan Stanley jatuh 1.27 peratus susulan keputusan suku kedua, manakala Goldman Sachs meningkat 0.9 peratus selepas bahagian dagangannya menjana hasil US$840 juta lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis.
"Ekonomi dan pasaran secara umumnya memberi reaksi positif terhadap landskap dasar semasa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon.
"Namun memandangkan perkembangan jarang berlaku secara lurus, kami tetap memberi tumpuan kepada pengurusan risiko."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami