Skip to main content
Advertisement

Dunia

'Salji abadi' Papua dijangka lenyap sepenuhnya dalam masa terdekat

Masuk dalam Situs Warisan Dunia UNESCO, Gunung tertinggi di Indonesia terletak di Provinsi Papua.   Pegunungan Jayawijaya dengan puncak Carstensz Pyramid dgn salju abadi merupakan gunung tertinggi di Indonesia dengan ketinggian 4.884 MDPL_X @BiLLRaY2019
Glasier tropika di Papua mempunyai nilai saintifik yang unik kerana ia merupakan tinggalan ais tropika terakhir di antara banjaran Andes dan Himalaya. - Foto X/@BiLLRaY2019
Advertisement

JAKARTA: Lapisan ais dan salji yang sekian lama menutupi puncak tertinggi di wilayah Papua, Indonesia, dijangka lenyap sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi akibat pemanasan global, sekali gus mengakhiri kewujudan apa yang dikenali sebagai "salji abadi" di kawasan tropika itu.

Puncak Jaya atau Carstensz Pyramid di Banjaran Sudirman kini menjadi satu-satunya lokasi yang masih mempunyai glasier dan salji kekal selepas kawasan ais di puncak-puncak lain hampir lenyap sepenuhnya.

Menurut penyelidik, keluasan glasier di sekitar Puncak Jaya telah mengecil secara drastik daripada hampir 1,900 hektar pada abad ke-19 kepada hanya kira-kira 16 hektar pada masa ini.

Ahli ekologi glasier dari Republik Czech, Marie Sabacka, berkata glasier tropika di Papua mempunyai nilai saintifik yang unik kerana ia merupakan tinggalan ais tropika terakhir di antara banjaran Andes dan Himalaya.

Teras ais yang diambil daripada glasier itu menyimpan rekod penting sejarah iklim serta perubahan keadaan atmosfera dan lautan tropika di rantau berkenaan.

Bagaimanapun, kebanyakan khazanah saintifik itu berkemungkinan hilang sebelum sempat dikaji sepenuhnya.

Para saintis menyifatkan pencairan glasier Papua sebagai bukti jelas pemanasan global yang didorong oleh aktiviti manusia, termasuk penggunaan bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas.

Peningkatan suhu menyebabkan lebih banyak hujan berbanding salji turun di kawasan pergunungan tinggi, sekali gus mempercepatkan proses pencairan ais.

Selain kepentingan saintifik, Puncak Jaya turut mempunyai nilai budaya dan spiritual yang mendalam kepada masyarakat pribumi Papua.

Bagi masyarakat Amungme, gunung tersebut dikenali sebagai Nemangkawi atau "Anak Panah Putih" dan dianggap simbol kesucian, kejujuran serta panduan hidup.

Aktivis alam sekitar Amungme, Adolfina Kum, berkata kehilangan glasier itu ibarat kemusnahan sebuah tempat suci bagi masyarakatnya.

"Apabila gunung keramat dan warisan nenek moyang berubah atau musnah, masyarakat kehilangan sebahagian daripada identiti dan kekuatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, penyelidik menggunakan dron dan teknologi pemetaan tiga dimensi untuk mendokumentasikan sisa glasier yang masih tinggal.

Menurut penyelidik Denmark, Klaus Thymann, kawasan glasier di Papua telah menyusut kira-kira 95 peratus sejak awal tahun 2000-an.

Beliau menyifatkan kehilangan "salji abadi" itu sebagai peringatan jelas mengenai kesan perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia.

 

 

Must Watch Video

Advertisement