OPENAI pada Selasa mengesahkan telah mencapai persetujuan untuk Sam Altman kembali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), beberapa hari selepas beliau dipecat.

Sebagai tambahan kepada kepulangan Altman, syarikat yang membangunkan ChatGPT itu pada dasarnya bersetuju membentuk semula sebahagian daripada lembaga pengarah yang telah memecatnya.

Lembaga pengarah itu akan turut disertai bekas CEO bersama Salesforce, Bret Taylor sebagai pengerusi, serta bekas Setiausaha Perbendaharaan AS Larry Summers dan pengarah semasa Adam D'Angelo, sebagai pengarah, kata OpenAI.

Syarikat itu memecat Altman secara mengejut pada Jumaat lalu.

Namun pada Ahad, pelabur terbesar OpenAI, Microsoft segera melantik Altman dan pengasas bersama OpenAI, Greg Brockman untuk menerajui pasukan penyelidik AI di Microsoft.

OpenAI pada Isnin menamakan bekas bos Twitch, Emmett Shear sebagai CEO sementara.

Pada Rabu, Altman menulis di X: "Saya suka OpenAI, dan semua yang saya lakukan sejak beberapa hari lalu adalah khidmat untuk mengekalkan pasukan ini dan misinya bersama-sama."

Beliau menambah bahawa keputusan menyertai Microsoft pada petang Ahad, jelas "jalan terbaik" untuk pasukan dan dirinya.


Pada Selasa, Altman berkata beliau mendapat sokongan CEO Microsoft Satya Nadella untuk kembali sebagai CEO OpenAI.

"Dengan lembaga baharu dan sokongan Satya, saya tidak sabar untuk kembali ke OpenAI, dan membina perkongsian kukuh kami dengan (Microsoft)," tulisnya.

Brockman menulis di X: "Pulang semula ke OpenAI dan kembali melakukan pengekodan malam ini."