Skip to main content

Dunia

Sanchez dahului tipis Fujimori, perlumbaan Presiden Peru terus sengit

Sumber: REUTERS
Sanchez mendahului tipis dengan kira-kira 50.1 peratus undi berbanding 49.9 peratus yang diraih Fujimori. - Foto REUTERS

LIMA: Keputusan pilihan raya presiden Peru kekal tidak menentu apabila persaingan sengit antara calon konservatif Keiko Fujimori dan pencabar berhaluan kiri, Roberto Sanchez, masih terlalu hampir untuk ditentukan.

Data rasmi daripada pihak berkuasa pilihan raya Peru (ONPE) menunjukkan Sanchez mendahului tipis dengan kira-kira 50.1 peratus undi berbanding 49.9 peratus yang diraih Fujimori, selepas lebih 94 peratus undi dikira.

Perbezaan itu hanya melibatkan puluhan ribu undi, sekali gus menjadikan perlumbaan ini antara yang paling sengit dalam sejarah politik negara Amerika Selatan berkenaan.

Pada awal pengiraan, Fujimori dilaporkan mendahului hasil sokongan kuat di ibu negara Lima dan kawasan bandar, namun kelebihan itu semakin mengecil apabila undi dari kawasan luar bandar dan wilayah Andes yang cenderung menyokong Sanchez mula dikira.

Dalam perkembangan berkaitan, pasaran kewangan Peru menunjukkan pemulihan apabila indeks saham utama ditutup lebih tinggi, selepas mengalami penurunan mendadak sebelum ini susulan kebimbangan terhadap dasar ekonomi Sanchez.

Pelabur sebelum ini gusar dengan cadangan beliau untuk merombak sektor perlombongan, termasuk memperkenalkan cukai luar biasa dan pembaharuan konsesi, yang dilihat boleh menjejaskan ekonomi negara yang bergantung kepada eksport mineral.

Sanchez bagaimanapun mendapat sokongan luas daripada pengundi luar bandar dengan agenda reformasi sosial dan ekonomi, manakala Fujimori menampilkan pendekatan tegas terhadap jenayah, berasaskan legasi politik bapanya, bekas presiden Alberto Fujimori.

Penganalisis menjangkakan keputusan muktamad mungkin mengambil masa beberapa minggu, memandangkan masih terdapat undi luar negara dan kertas undi yang dipertikaikan belum selesai diproses.

Kedua-dua calon setakat ini menggesa penyokong masing-masing untuk bertenang dan menunggu keputusan rasmi penuh.

Peru sebelum ini berdepan ketidakstabilan politik berpanjangan, dengan negara itu bertukar sembilan presiden dalam tempoh kira-kira satu dekad.

Pilihan raya kali ini dilihat penting dalam menentukan hala tuju politik dan ekonomi negara itu, di tengah perpecahan mendalam antara kawasan bandar dan luar bandar.
 

 

Must Watch Video

Advertisement