Skip to main content

Malaysia

KPDN Melaka rekod nilai rampasan RM2.1 juta libatkan 428 kes sejak Januari

Mohd Hazimin (kanan) memeriksa barangan yang dilabel tanda harga merah jambu selepas melancarkan SHMMP Deepavali 2026 KPDN Melaka di sebuah pasar raya di Peringgit, hari ini. - Gambar Bernama
Mohd Hazimin (kanan) memeriksa barangan yang dilabel tanda harga merah jambu selepas melancarkan SHMMP Deepavali 2026 KPDN Melaka di sebuah pasar raya di Peringgit, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan nilai rampasan berjumlah RM2.1 juta menerusi 428 kes dari 1 Jan hingga 31 Okt lepas.

Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata rampasan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mencatatkan nilai rampasan tertinggi, iaitu kira-kira RM1.78 juta diikuti Akta Cap Dagangan 2019 (RM145,490.50) dan Akta Hakcipta 1987 (RM73,179).

Beliau berkata rampasan mengikut Akta Jualan Langsung 1993 pula merekodkan jumlah RM55,044 diikuti Akta Perihal Dagangan 2011 (RM32,032.35) serta Akta Timbang dan Sukat 1972 (RM4,469.30).

Advertisement

"Daripada jumlah kes pula, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 merekodkan kesalahan tertinggi, iaitu 203 kes diikuti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (89 kes) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (70).

"Sebanyak 46 kes direkodkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala Akta Hak Cipta 1987 mencatatkan lapan kes dan masing-masing empat kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Cap Dagangan 2019," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 KPDN Melaka di Peringgit hari ini.

Advertisement

Mohd Hazimin berkata Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Jualan Langsung 1993 pula masing-masing merekodkan dua kes selain kutipan kompaun mencatatkan jumlah RM101,850 manakala denda RM311,000 dalam tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh itu juga, kita menerima 1,498 aduan daripada pengguna dan semua aduan itu diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan… selain itu, KPDN Melaka menahan 24 individu disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan selain memeriksa 23,822 premis perniagaan di seluruh negeri," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna supaya menyalurkan aduan menerusi saluran rasmi KPDN sekiranya mengesan salah laku peniaga atau mempunyai ketidakpuasan hati berkaitan urus niaga sebelum menyebarkan perkara berkenaan di media sosial.

Mohd Hazimin berkata tindakan itu membolehkan siasatan segera dijalankan sebelum peniaga mengambil peluang menyembunyikan kesalahan sekali gus membolehkan aduan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Pada masa sama, beliau berkata 80 hingga 100 anggota penguat kuasa KPDN akan memantau pelaksanaan SHMM melibatkan 11 jenis barangan keperluan selama tujuh hari bermula semalam di semua rangkaian perniagaan termasuk pasar, kedai runcit dan pasar raya di Melaka.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement