Skip to main content

Malaysia

Kerjasama, diplomasi pertahanan terus tingkat keupayaan aset keselamatan - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled (tengah) bergambar bersama penerima projek PJM pada Majlis Penyerahan Projek PJM MADANI Kementerian Pertahanan Tahun 2026 Negeri Melaka di Balai Raya, Kampung Telok Mas hari ini. - Gambar Bernama
Mohamed Khaled (tengah) bergambar bersama penerima projek PJM pada Majlis Penyerahan Projek PJM MADANI Kementerian Pertahanan Tahun 2026 Negeri Melaka di Balai Raya, Kampung Telok Mas hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MELAKA: Kerjasama dan diplomasi pertahanan dengan negara-negara maju membolehkan Malaysia terus menerima sokongan strategik bagi memantapkan kesiapsiagaan keselamatan negara dan serantau, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata menerusi kerjasama dan diplomasi seperti itu, Malaysia menerima pelbagai inisiatif tajaan pembangunan keupayaan ketenteraan daripada negara sahabat termasuk Jerman, Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

Mohamed Khaled berkata sebagai contoh untuk tahun ini Kerajaan Jerman menyumbang dana sebanyak €5 juta untuk menaik taraf Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor.

Advertisement

"Negara-negara ini ada dasar untuk mengupayakan Malaysia bukan sahaja mempunyai keupayaan mempertahankan negara, tetapi menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau Asia Pasifik.

"Bersandar pada dasar itu, banyak negara terutama negara maju ada program untuk menyumbang kepada usaha membangunkan keupayaan Malaysia," katanya ketika mengulas kepentingan peranan diplomasi pertahanan dalam pengukuhan pertahanan negara.

Advertisement

Terdahulu, Mohamed Khaled menghadiri Majlis Penyerahan Projek Program Jiwa Murni (PJM) MADANI Kementerian Pertahanan 2026 peringkat Negeri Melaka di Balai Raya Tanjung Nibong, Kampung Telok Mas di sini hari ini.

Mengulas tentang domain maritim Malaysia pula, beliau berkata Jepun menyalurkan sumbangan merangkumi sistem antidron yang akan ditempatkan di Sepanggar, Sabah.

Bantuan itu bagi memperkukuh Kesedaran Domain Maritim serta memperhebat operasi rondaan kehadiran di perairan negara selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

"Pembangunan keupayaan itu supaya kita mampu menyumbang kepada kestabilan rantau ini. Itu sebabnya diplomasi pertahanan satu daripada elemen mengukuhkan kedudukan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement