Ketika berlaku peningkatan kes COVID-19, satu lagi bandar di China melaksanakan perintah kawalan pergerakan, menggantung kelas dan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pihak berkuasa di Yuzhou, sebuah bandar di wilayah tengah Henan, mengumumkan peraturan baharu itu pada Ahad malam setelah "mengesan dua kes jangkitan yang tidak menunjukkan gejala," lapor agensi Anadolu memetik surat khabar China Global Times.

Ia berlaku apabila kawasan tompok panas terbaharu COVID-19 di negara itu, Xian, di barat laut ibu kota wilayah Shaanxi, melaporkan kurang daripada 100 kes selepas hampir seminggu.

Pada Ahad, 161 kes baharu dilaporkan di seluruh negara, dengan 101 daripadanya adalah jangkitan tempatan dan 60 kes import, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan negara itu.

Xian menyaksikan lonjakan kes tempatan yang dicetuskan oleh varian Delta COVID-19 selepas kes pertamanya dikesan pada Disember lalu. Jumlah itu meningkat kepada 1,666 kes pada Ahad dengan tambahan 92 kes baharu.

Menurut Xinhua News yang dikendalikan kerajaan China, sekurang-kurangnya 24 pasukan perubatan dengan 1,370 doktor dan jururawat ditugaskan ke Xian untuk menghadapi cabaran virus yang semakin meningkat.

Pihak berkuasa tempatan juga menubuhkan dua hospital di zon kuarantin untuk rawatan kecemasan, katanya.

-- BERNAMA