"Saya Presiden Venezuela, diculik dan tidak bersalah" - Nicolas Maduro

Maduro dan isterinya, Flores dibawa ke mahkamah di bawah kawalan bersenjata dari pusat tahanan di Brooklyn. - Gambar Reuters
NEW YORK: Nicolas Maduro tampil buat pertama kali di Mahkamah Persekutuan Manhattan, di sini, pada Isnin selepas ditahan dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menggulingkan beliau daripada tampuk kuasa di Venezuela.
Dalam prosiding itu, Maduro dengan nada tegas mengisytiharkan dirinya sebagai “Presiden negara saya” sambil membantah penahanannya dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pengedaran dadah yang dikenakan ke atasnya.
“Saya diculik,” katanya dalam bahasa Sepanyol sebelum dihentikan oleh hakim.
Ketika diminta menyatakan pengakuan, beliau menegaskan: “Saya tidak bersalah. Saya seorang yang baik, Presiden negara saya.”
Penampilan ini menandakan permulaan perbicaraan paling signifikan oleh kerajaan AS terhadap seorang ketua negara asing dalam tempoh beberapa dekad, susulan operasi yang disifatkan sebagai perubahan rejim paling berani oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Isterinya, Cilia Flores, yang turut ditahan bersama beliau hujung minggu lalu, juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pengedaran dadah dan senjata.
Peguam Maduro memaklumkan, anak guamnya tidak akan memohon untuk dibebaskan dengan ikat jamin ketika ini, namun kemungkinan berbuat demikian pada masa akan datang, menurut beberapa laporan media tempatan.
Perbicaraan seterusnya kes Maduro ditetapkan pada 17 Mac, dengan hakim mengarahkan beliau hadir semula ke mahkamah.
Kawalan ketat
Terdahulu, Maduro dan Flores dibawa ke mahkamah di bawah kawalan bersenjata dari pusat tahanan di Brooklyn.
Pasangan suami isteri itu memakai fon kepala untuk mendengar terjemahan prosiding yang dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Hakim Alvin Hellerstein, 92, memaklumkan, perbicaraan penuh akan berlangsung kemudian, sementara peguam Maduro dijangka mencabar kesahan penangkapan itu dengan alasan kekebalan sebagai ketua negara.
Peguam terkenal, Barry Pollack berkata, Maduro berhak mendapat keistimewaan sebagai ketua negara berdaulat dan akan membangkitkan isu “penculikan ketenteraan” yang dilakukan AS.
Maduro dan isterinya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang terkandung dalam dokumen setebal 25 halaman, termasuk dakwaan bekerjasama dengan kartel dadah untuk menyeludup ribuan tan kokain ke AS.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Pertuduhan turut mendakwa pasangan itu mengarahkan penculikan, serangan dan pembunuhan terhadap individu yang berhutang atau mengganggu operasi pengedaran dadah mereka.
Di luar mahkamah, penunjuk perasaan berpecah antara yang membantah tindakan ketenteraan AS dan yang menyokong campur tangan tersebut.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar, dengan pegawai tertinggi PBB memberi amaran bahawa tindakan unilateral AS mungkin melanggar undang-undang antarabangsa.
Kerajaan sementara Venezuela yang diketuai Delcy Rodríguez menuntut AS memulangkan Maduro, sambil mengajak kerjasama “berdasarkan hubungan hormat” dengan Washington.
Anak Maduro, Nicolas Maduro Guerra, pula memberi amaran bahawa penangkapan seorang ketua negara boleh mencetuskan preseden berbahaya: “Hari ini Venezuela, esok (giliran) mana-mana negara yang enggan tunduk (dengan AS) pula.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


