SAN FRANCISCO: Amazon mengumumkan syarikat itu akan menutup beberapa kedai serbaneka Amazon Go di Amerika Syarikat (AS).

"Seperti mana peruncit fizikal yang lain, kami juga telah menilai portfolio kedai kami secara berkala dan membuat keputusan untuk mengambil langkah pengoptimuman.

"Dalam kes ini, kami telah memutuskan untuk menutup sebilangan kecil kedai Amazon Go di Seattle, New York City dan San Francisco.

"Kami tetap komited dengan format Amazon Go yang telah mengendalikan lebih daripada 20 kedai di seluruh AS dan akan terus mengkaji lokasi dan ciri yang paling sesuai dengan pelanggan sambil terus mengembangkan kedai Amazon Go kami," lapor Xinhua memetik kenyataan syarikat itu.

Dengan penutupan empat kedai itu di San Francisco pada 1 April, Amazon akan menutup semua kedai fizikalnya di Bay Area, menurut laporan San Francisco Chronicle.

Kedai pertama Amazon Go mula dibuka kepada orang ramai pada 2018 yang membolehkan pembeli membayar secara automatik melalui telefon pintar.

Tahun lepas, syarikat itu memaklumkan bahawa ia akan menutup lebih daripada 50 kedai runcit fizikalnya.

Awal tahun ini pula Amazon mengumumkan rancangan pemberhentian yang akan menjejaskan 18,000 pekerja.

-- BERNAMA