Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha membuka Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dengan menyeru kesatuan 10 negara anggota itu untuk memuktamadkan rundingan bagi mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia.

Selaku Pengerusi bagi penganjuran tahun ini, Prayuth menggesa supaya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimuktamadkan bagi melindungi anggota organisasi itu daripada apa yang disebut sebagai 'winds of protectionism' (sikap perlindungan).

“Winds of protectionism yang merentasi sistem multilateral mengingatkan kita bahawa kita mesti bertahan dengan lebih kuat lagi antara satu sama lain.

“Jadi kita perlu mengukuhkan kembali keazaman kita untuk memuktamadkan rundingan RCEP pada tahun ini.

“RCEP akan menjadi kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dan menjadi perlindungan daripada konflik perdagangan yang berlanjutan antara negara ASEAN dengan beberapa rakan dagang antarabangsa,” katanya sebelum kesemua pemimpin ASEAN memulakan pemukiman tertutup mereka hari ini.

Perjanjian RCEP yang turut meliputi negara kuasa besar China dan India - namun bukan Amerika Syarikat - dijangka merangkumi hampir separuh penduduk dunia dan 40 peratus perdagangan dunia.

Walaupun perbincangan secara berperingkat semakin berkembang, namun ia masih gagal dimuktamadkan tahun lepas disebabkan oleh pelbagai perbezaan.