ISTANBUL: Tentera Amerika Syarikat (AS) telah melencongkan 92 kapal dagang ketika menguatkuasakan sekatan maritim terhadap Iran, menurut Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Setakat 6 Sept, tentera AS telah melencongkan 92 kapal dagang, melumpuhkan tiga dan menaiki dua kapal bagi memastikan pematuhan ketat,” menurut CENTCOM menerusi hantaran di platform X.
CENTCOM turut memaklumkan sebuah jet pejuang stealth F-35A Tentera Udara AS sedang melakukan rondaan di perairan rantau itu.
Kenyataan itu dibuat ketika konflik yang bermula selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari masih berterusan. Serangan itu disusuli tindakan balas Iran terhadap sasaran AS di seluruh rantau berkenaan.
Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada Jun hasil pengantaraan Pakistan dan Qatar, yang menggariskan langkah ke arah menamatkan permusuhan, membuka semula Selat Hormuz serta menangani sekatan ekonomi.
Kedua-dua pihak sejak itu saling menuduh gagal melaksanakan komitmen di bawah memorandum berkenaan, manakala ketegangan ketenteraan berterusan seiring pertikaian mengenai sekatan dan pelayaran melalui Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU