PARIS: Sekatan berterusan di Selat Hormuz meningkatkan permintaan global terhadap arang batu, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi yang berpangkalan di Paris itu memaklumkan sekatan berkenaan, yang dicetuskan oleh perang ke atas Iran, menyebabkan kemerosotan besar dalam bekalan gas asli cecair (LNG), sekali gus melonjakkan harga dengan mendadak.
Keadaan itu mendorong negara yang mempunyai loji janakuasa menggunakan gas serta kapasiti penjanaan menggunakan arang batu yang tersedia untuk meningkatkan penjanaan elektrik berasaskan arang batu mereka.
Akibatnya, penggunaan arang batu di pasaran termasuk Eropah, Jepun, Korea dan China mencatatkan paras yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan sebelum ini, menurut agensi itu.
Permintaan arang batu global, yang sebelum ini diramal mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, kini diunjurkan meningkat sebanyak 1.2 peratus pada 2026, sekali gus melonjakkan penggunaan dunia ke paras rekod 8.94 bilion tan.
Menurut IEA, sama ada trend itu akan berterusan sehingga 2027 bergantung kepada sama ada selat berkenaan kekal disekat. Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan harga arang batu telah pun meningkat susulan perkembangan berkenaan.
-- BERNAMA-dpa