Skip to main content

Dunia

Sektor automotif, E&E berpotensi tingkat kerjasama Malaysia dan Afrika Selatan

Pesuruhjaya
Yubazlan berucap pada program “Doing Business with Malaysia: Enhancing Market Access and Cooperation - Malaysia as a Gateway to ASEAN” di Afrika Selatan baru-baru ini. - Gambar Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Afrika Selatan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Afrika Selatan berpotensi memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dalam sektor berimpak tinggi termasuk automotif, produk elektrik dan elektronik (E&E), pemprosesan hiliran minyak sawit serta teknologi.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof berkata sektor tenaga boleh baharu, kejuruteraan khusus, pertanian dan ekonomi halal turut mempunyai potensi untuk diteroka.

Beliau berkata demikian pada program “Doing Business with Malaysia: Enhancing Market Access and Cooperation - Malaysia as a Gateway to ASEAN” yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Afrika Selatan baru-baru ini.

Program itu menghimpunkan lebih 100 pengusaha dan komuniti perniagaan tempatan serta penyertaan daripada Department of Trade, Industry and Competition (DTIC) Afrika Selatan dan MIDA Dubai.

“Malaysia dan Afrika Selatan dilihat berpotensi memainkan peranan sebagai pintu masuk kepada rantau masing-masing, dengan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN bagi syarikat-syarikat Afrika Selatan, manakala Afrika Selatan sebagai platform bagi syarikat Malaysia meneroka pasaran lebih luas di rantau Afrika,” kata Yubazlan dalam ucapannya pada program berkenaan.

Jumlah perdagangan dua hala yang mencecah kira-kira US$1.33 bilion pada 2025 turut mencerminkan potensi besar untuk terus memperluas dan mempelbagaikan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Hubungan diplomatik Malaysia-Afrika Selatan terjalin sejak 1993.

“Kerjasama dalam sektor-sektor berkenaan bukan sahaja berpotensi meningkatkan perdagangan dua hala, malah membuka ruang kepada pelaburan, usaha sama, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta penyertaan dalam rantaian nilai serantau,” kata Yubazlan.

Sementara itu, sesi panel bertajuk “Bridging Markets, Building Partnerships - Advancing Trade Cooperation between Malaysia and South Africa” yang dikendalikan oleh Salim Abu Haniffa daripada Dewan Perniagaan Malaysia – Afrika Selatan (MYCHAM) turut menarik perhatian komuniti perniagaan tempatan.

Sesi itu menekankan kepentingan hubungan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan pendekatan perkongsian jangka panjang, selain menggalakkan syarikat kedua-dua negara melihat Malaysia dan Afrika Selatan bukan sekadar sebagai pasaran eksport, tetapi sebagai platform strategik untuk mengembangkan operasi masing-masing ke ASEAN dan rantau Afrika.

Sementara itu, Penasihat Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Johannesburg Zamzuri Mohamed berkata peluang kerjasama dalam ekonomi halal turut diberi perhatian, khususnya mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dan pengalaman Afrika Selatan dalam ekosistem pensijilan halal.

Katanya, syarikat Afrika Selatan turut digalakkan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia  (MIHAS) 2026 bagi memperluas jaringan perniagaan dan akses kepada pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement